DUNGUN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengenakan denda sebanyak RM2,500 ke atas seorang pemilik kedai buku selepas mengaku bersalah memiliki 25 naskah muqqadam yang mengandungi kesilapan kaedah penulisan, tahun lalu.
Nor Azuwan Affendy Ibrahim, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Amira Fatihah Osman.
Mengikut pertuduhan, didapati terdapat 25 Naskah Muqaddam Inlai yang ada dalam milikan lelaki itu, bagi maksud penjualan atau pengedaran teks Al-Quran yang mengandungi kesilapan atau tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kesalahan itu dilakukan lelaki itu kira-kira pukul 3.30 petang, pada 13 Ogos 2024 di premis perniagaannya di Bandar Paka, di sini.
Nor Azuan didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(2) Akta sama yang boleh dikenakan denda maksimum hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Nor Amira Fatihah memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM2,500 atau penjara 20 hari jika gagal membayar denda. Kes dikendalikan Pendakwa Raya KDN, Yusri Md Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










