PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah untuk mengeluarkan amaran rasmi kepada Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch-MFW) supaya menarik balik segala bentuk promosi dan pengiktirafan Muslim Choice yang boleh mengelirukan pengguna Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, arahan itu dibuat susulan kebimbangan penjenamaan tersebut boleh disalah tafsir sebagai pengiktirafan rasmi atau mempunyai kaitan dengan pensijilan halal Malaysia.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim untuk segera mengeluarkan kenyataan amaran rasmi kepada pihak MFW agar menarik balik segala bentuk promosi dan pengiktirafan Muslim Choice yang boleh mengelirukan pengguna Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Na’im, Jakim memandang serius sebarang bentuk penggunaan label, logo atau istilah yang berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai status halal sesuatu produk atau premis.
Beliau berkata, sekiranya MFW gagal mematuhi amaran tersebut, tindakan akan diambil di bawah undang-undang sedia ada.
“Sekiranya MFW gagal mematuhi amaran diberikan, selepas berbincang dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan logo halal atau sebarang bentuk pengiktirafan yang mengelirukan,” katanya.
Mohd. Na’im berkata, hanya Jakim dan pihak berkuasa agama negeri yang mempunyai bidang kuasa mengeluarkan pensijilan halal rasmi di Malaysia selaras dengan piawaian kebangsaan dan peruntukan undang-undang.
“Mana-mana pihak diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya memperkenalkan label atau tanda berkaitan Muslim dan halal tanpa rujukan kepada pihak berwajib bagi menjaga kepentingan pengguna Islam,” katanya.
Jakim dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, penggunaan istilah Muslim Choice yang diperkenalkan oleh MFW bukanlah perakuan atau penandaan halal diiktiraf pihak berkuasa. – UTUSAN








