PETALING JAYA: MERCY Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan di Gaza dengan menghantar Pasukan Rawatan Khas Ke-6 bagi menyalurkan bantuan perubatan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berterusan di wilayah itu.
MERCY Malaysia memaklumkan, pasukan khas tersebut beroperasi di bawah penyelarasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kini berada di barisan hadapan bagi melaksanakan misi bantuan berkenaan.
“Konflik yang berlarutan dan serangan terkini telah menyebabkan banyak hospital kekurangan sumber penting, sehingga rakyat Gaza berdepan keperluan mendesak terhadap rawatan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MERCY Malaysia berkata, pihaknya kekal komited menyokong usaha pemulihan sistem kesihatan, memperkukuh daya tahan komuniti serta mengembalikan harapan kepada rakyat Gaza yang terus berdepan penderitaan akibat peperangan.
“Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi membantu misi kemanusiaan tersebut boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad: 8606 1291 17 (Ref: Gaza) dengan kod SWIFT CTBBMYKL,” katanya.
Sementara itu, Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan, tentera pendudukan Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata apabila melancarkan serangan udara dan memusnahkan rumah penduduk di bandar Gaza serta Khan Younis.
Sejak pencerobohan Israel bermula pada Oktober 2023, angka korban di Gaza meningkat kepada 68,858 orang dengan majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala 170,664 lagi dilaporkan cedera.
Meskipun perjanjian gencatan senjata terbaharu berkuat kuasa pada 11 Oktober lalu, seramai 226 rakyat Palestin terbunuh dan 594 lagi cedera dalam serangan susulan.
Pasukan penyelamat turut menemui 499 mayat dari bawah timbunan runtuhan selain 30 lagi mayat dipulangkan oleh pihak berkuasa Israel, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang ditemui meningkat kepada 529.-UTUSAN










