Anak raja pun ada kekurangannya, inikan saya - Auddra - Utusan Malaysia

Anak raja pun ada kekurangannya, inikan saya – Auddra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN pelakon, Sharifah Shahirah menyertai rancangan Talk To My Manager musim pertama adalah tepat kerana disebabkan itulah lahirnya Auddra Zulkifly, seorang bintang muda yang menyinar.

Pada usia 16 tahun, Auddra sudah memperlihatkan potensi, memanfaatkan tawaran menyanyi, berlakon dan mengacara, merebut peluang pada umur yang cukup muda.

Bagi yang sakit mata melihat pencapaiannya, mereka pastinya menyediakan seribu satu alasan tentang kejayaan Auddra. Paling utama adalah menuduh Auddra sebagai ‘nepo baby’ yang peluang diperolehinya dibentangkan seluas-luasnya disebabkan statusnya sebagai anak kepada Sharifah Shahira dan Ijoy serta menjadi anak angkat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Auddra menyangkal dakwaan itu. Baginya, nepo baby atau tidak, semua mengharungi kepayahan dan kesukaran yang dijanjikan sebaik sahaja masuk ke bidang anak seni. 

“Sebenarnya, perjalanan saya untuk menjadi artis, bukan mudah, ada kesukaran, turun naiknya. Jadual saya hampir setiap hari padat. Kadang kala memang memenatkan. Tapi, mahu ataupun tidak, saya kena buat. Paksa diri.

“Bidang seni inilah yang saya mahukan. Saya tak boleh mengadu yang saya penat. Dan ada hari dimana tidak indah mana pun. Tapi, hidup harus diteruskan. Saya kena bekerja keras.

“Tengok Michael Jackson, sedari kecil dia dilatih, korbankan zaman kanak-kanaknya. Bila sudah besar, dia pegang gelaran Raja Pop Dunia. Kuncinya, kerja keras. Itulah yang saya lakukan. Jadi, tak usah bercakap mengenai nepo baby, kerana semuanya menjalani susah dan senang,” kongsinya.

Auddra tidak terganggu dengan gelaran tersebut. Katanya, yang mendakwa dia sebagai nepo baby tidak ‘memakai kasutnya’, tidak melalui apa yang dilaluinya hampir setiap hari.

Disebabkan itu dia tidak pernah mengambil serius pandangan negatif yang dilayangkan warganet kerana perkara itu hanya  mengganggu usahanya untuk mencapai impian.

“Ada yang kata nepo baby ini kerjanya mudah. Hakikatnya tidak. Apa yang saya dapat hari ini tidak datang bergolek. Jangan kata saya ini anak Sharifah Shahira saya dapat semua yang saya hajatkan. Saya juga perlu menghadiri uji bakat. 

“Ibu saya tidak lahir dalam keluarga seni. Tapi saya, yang digelarkan nepo baby ini, perlu menghadapi apa yang dia hadap untuk menjadi artis. 

“Kalau di set penggambaran, dimarahi pengarah, saya akur. Hakikatnya jalan yang saya lalui itu berliku. Saya tidak dilahirkan dalam kesempurnaan dan tiada siapa yang lahir dengan pakej lengkap. Anak raja pun ada kekurangannya, inikan saya,” ujarnya. 

 

BUAT SEMUA, BIAR NETIZEN RIMAS

Keinginan Auddra untuk menjadi artis bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Dia menadahkan sepenuh jiwa dan raganya demi bergelar artis. 

Semangat Auddra harus dipuji. Baginya, persada seni bukan taman permainan. Segalanya yang ada dalam lapangan ini menuntut kerja keras, peluang, ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

“Saya nak buat semuanya, menyanyi, berlakon dan mengacara. Biar netizen rimas tengok muka saya.

“Semua yang saya miliki setakat ini adalah hasil kerja keras yang berterusan. Kejayaan tak datang bergolek. Anda perlu bekerja dengan rajin. Sekadar bercita-cita tidak memadai, harus ada usaha. Kalau tidak, sia-sia.

“Saya tak mahu menjadi artis yang menunggu bulan jatuh ke riba. Saya ingin mencari peluang. Saya dapat pelbagai tawaran menyanyi dan berlakon kerana saya hadir uji bakatnya. 

“Dan saya berterus memuat naik aktiviti harian saya di sosial media. Semua ini menuntut usaha yang tinggi,” kongsinya lagi.

GELANGGANG RASA

Gelanggang Rasa menjadi buah tangan sulung Auddra, sebuah lagu yang dihasilkan dengan keringat dari seorang remaja berusia belasan tahun.

Bak kata Siti Nurhaliza, dia kagum melihat Auddra yang usahanya saling tak tumpah dengan ibu bapanya serta nendanya yang juga pelakon veteran, Maria Arshad.

Auddra tahu apa yang dimahukannya. Dia mengerti lagu ciptaan Micu Ellis, Mingaling dan Aril Armani sesuai dijadikan lagu yang memperkenalkan bakatnya dalam dunia nyanyian.

“Lagu ini bertenaga, kena dengan jiwa saya yang bukanlah orang yang serius setiap masa. Selepas mendengarnya berulang kali, saya merasakan Gelanggang Rasa ini sesuai dijadikan lagu pertama saya.

“Dan tentulah Siti Nurhaliza ada memberi tunjuk ajar walaupun dia tiada sewaktu rakaman. Sebagai artis baharu, saya ambil segala nasihat beliau. 

“Apa pun saya terharu kerana apa yang saya impikan sekian lama akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN