Menang dahulu Merotai, bukan sibuk siapa jadi Ketua Menteri

Menang dahulu Merotai, bukan sibuk siapa jadi Ketua Menteri

RUJI Ubi dan Nurul Izzah Anwar (tengah) bersama penduduk pada program ramah mesra bersama komuniti Hot Spring di Tawau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi menolak spekulasi bahawa beliau antara nama disebut dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS)–Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ruji berkata, ke­utamaan beliau kini ialah memastikan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai.

“Yang penting kita jadikan dulu kerusi Merotai ini untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Soal lain itu hanya spekulasi,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri program ramah mesra bersama komuniti di sini kelmarin.

DUN Merotai kini disandang Sharifuddin Hatta daripada Parti Warisan (Warisan) yang dimenangi PRN lalu dengan majoriti besar dan menjadikan pertandingan seingit antaranya dan Ruji.

Ruji berkata, tumpuan kini sepenuhnya kepada usaha mendekati rakyat dan menjelaskan kepentingan mempunyai wakil rakyat Merotai seiring kerajaan bagi memastikan pelaksanaan peruntukan pembangunan berjalan lancar.

Beliau menyatakan ke­yakinan tinggi terhadap sambutan rakyat Merotai hasil siri program turun padang sejak tiga bulan lalu, termasuk lawatan ke semua masjid dan pasar di kawasan itu.

“Sambutan sangat baik, momentum meningkat dan saya harap diteruskan sehingga hari mengundi nanti,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama antara jentera PH dan GRS di kawasan itu berjalan lancar dengan program dan mesyuarat dilaksanakan bersama.

“Setakat ini kerjasama sangat baik dalam kalangan parti gabungan kerajaan perpaduan. Kami bergerak bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN