MELAKA: Kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai 19 juta pelancong dan jangkaan pendapatan mencecah RM20 bilion sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sasaran tersebut mampu dicapai apabila sebanyak 225 acara pelancongan bakal mengisi Kalendar Acara Pelancongan sempena TMM2.0.
Menurutnya, pelbagai inisiatif baharu akan diperkenalkan sempena TMM 2.0 yang akan diumumkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Bajet 2026 Negeri Melaka pada 5 Disember ini.
Beliau berkata, TMM2.0 dilanjutkan ekoran kejayaan TMM2024 apabila berjaya menarik seramai 15.3 juta pelancong dengan anggaran keuntungan pendapatan diperoleh sebanyak RM12.688 bilion.
“Kita meletakkan sasaran kedatangan 16.5 juta pelancong adalah hasil daripada sesi libat urus Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) bersama penggiat industri pelancongan di negeri ini.
“Sesi libat urus itu turut melibatkan penggiat hotel, ejen pelancongan, persatuan dan sektor penerbangan serta membincangkan strategi promosi, insentif kerajaan serta ‘business matching’ yang boleh dilaksanakan sempena TMM 2.0.
“TMM2.0 ini jauh lebih menarik berbanding TMM2024 kerana program yang diatur menelusuri setiap daerah di negeri ini dan akan diumumkan pada pengumuman Bajet 2026 nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Rakan Muda Rakan Demokrasi Undi Orang Muda/Simulasi Pilihan Raya peringkat Daerah Alor Gajah di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, majlis pelancaran TMM2.0 akan diadakan di Encore Melaka pada malam Sambutan Ambang Tahun 2026 pada 31 Disember ini.
Menurutnya, antara acara bakal menjadi tarikan pelancong datang ke Melaka seperti Festival Tahun Baharu Cina 2026 di Jonker Walk; Majlis Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu; Raptor Watch 2026 Challenge di Tanjung Tuan, Melaka dan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka.
Selain itu katanya, antara beberapa acara lain turut diadakan ialah Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2026; Melaka Rainforest Festival 2026 di Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah, Jasin; Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2026, Melaka Heritage Festival In Conjuction with 18th Anniversary Of UNESCO World Heritage City Celebration dan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026. – UTUSAN










