Meerqeen tampil dengan jiwa baharu - Utusan Malaysia

Meerqeen tampil dengan jiwa baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia lakonan yang sarat dengan persaingan dan ekspektasi, nama Meerqen muncul sebagai antara generasi muda yang tidak gentar menongkah arus.

Jika sebelum ini dia sinonim dengan watak penuh emosi, kini dia tampil berani menjengah dunia komedi, genre yang dianggap jauh daripada zon selesanya.

“Saya sebenarnya takut juga sebab orang kenal saya bukan sebagai pelakon komedi.

“Tapi saya percaya, setiap naskah ada ruang untuk kita mencuba sesuatu yang baharu,” ujarnya.

Bagi Meerqen, lakonan bukan sekadar rutin di hadapan kamera, tetapi satu bentuk eksperimen diri.

Apabila diberi peluang membawakan watak Wadi dalam filem komedi terbaharu, Klepet dia menerima cabaran itu dengan hati terbuka.

Mengimbau waktu mula penggambaran, Meerqen tersenyum. Usianya ketika itu baru mencecah 22 tahun tetapi penuh tenaga, idea dan idealisme.

“Ketika itu saya banyak idea segar dan saya gunakan semua itu untuk hidupkan watak. Mencabar tapi seronok,” ujarnya.

Bagi Meerqen, tiada istilah kerja sambil lewa dalam lakonan. Baginya, setiap detik di set penggambaran adalah peluang untuk berkembang.

PENGALAMAN YANG MEMATANGKAN

Bekerjasama dengan pengarah baharu, Sanji, juga memberi pengalaman berharga buat dirinya

“Ketika itu keyakinan saya rendah. Tapi bila tengok semua orang bagi yang terbaik, saya rasa saya pun kena beri lebih.

“Saya sedar, kalau mereka boleh bagi 100 peratus saya harus beri 200 peratus,” ujar Meerqen penuh semangat.

Kini, selepas beberapa tahun mengukuhkan kedudukan dalam industri seni, Meerqen sedang mempersiapkan diri untuk projek filem aksi terbesar dalam kariernya setakat ini.

Sejak September lalu, dia katanya sudah mula ‘membuang’ karakter lama dan membina rutin baharu untuk menyelami watak yang lebih mencabar.

“Sejak bulan September, saya berdisiplin demi persedian lakonan seterusnya, persediaan ini bukan sekadar fizikal, tetapi juga mental dan emosi.

“Bila orang cakap saya senyap lama, bukan sebab saya tak ada kerja tetapi sebab saya tengah bersedia.

“Saya bukan orang yang laparkan perhatian. Apa yang penting bagi saya ialah hasil kerja yang jujur,” ujarnya tegas.

Malah, untuk watak baharunya, dia sanggup melalui transformasi fizikal besar-besaran.

“Saya kena buat full makeover. Mungkin kali ini saya botak. Setiap watak saya akan ubah dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sama seperti kali ini, semuanya berbeza,” kongisnya.

Daripada seorang pelakon muda yang dahulu berdepan keyakinan diri yang rapuh, kini Meerqen berdiri sebagai figura matang yang tahu ke mana arah langkahnya.

“Saya cuma nak terus buat benda yang saya minat selagi ada ruang untuk belajar, saya akan terus mencuba.” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN