Masyarakat perlu bantu promosi minyak sawit tempatan - Utusan Malaysia

Masyarakat perlu bantu promosi minyak sawit tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masyarakat mampu memainkan peranan lebih besar dalam mempromosi minyak sawit negara dengan menonjolkan penggunaan serta kelebihannya dalam pelbagai produk makanan dan kegunaan harian, terutamanya keluaran syarikat-syarikat barat yang selama ini menjadi pilihan pengguna.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad Malaysia, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, minyak sawit tempatan sudah pun menjadi bahan utama dalam produk global menunjukkan betapa pentingnya komoditi itu kepada rantaian makanan dan barangan pengguna dunia.

Menurut beliau, minyak sawit digunakan secara meluas dalam produk popular seperti ayam goreng, minuman coklat, snek, coklat, selain produk penjagaan diri termasuk syampu dan ubat gigi keluaran syarikat barat.

“Bayangkan apa jadi kalau tiada minyak sawit? Mungkin produk-produk itu tidak sebaik sekarang. Jika masyarakat kerap memaklumkan dan menonjolkan kelebihan minyak sawit di media sosial, sudah pasti lebih banyak persepsi antisawit oleh negara-negara Barat dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual media selepas perasmian Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Amar Fadillah Yusof, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Mohd Haris mengakui bahawa pemain industri sukar memberi impak besar kepada masyarakat jika hanya bergantung kepada usaha mereka sendiri untuk menjelaskan manfaat dan kemampanan minyak sawit.

“Untuk memenangi hati pengguna, umum kena sokong minyak sawit kita yang kosnya lebih rendah dan lebih mampan berbanding minyak soya, contohnya. Jika kami sahaja yang bercerita, mungkin impaknya kurang meyakinkan,” jelasnya.

Katanya, sokongan masyarakat lebih berkesan dalam membina keyakinan global terhadap minyak sawit Malaysia, berbanding naratif yang digerakkan oleh industri sahaja.

“Kami perlukan rakan kongsi untuk menceritakan apa yang kami lakukan selama ini — keprihatinan kami terhadap komuniti dan kemampanan minyak sawit

“Sayangnya masih ramai masyarakat kita yang kurang faham tentang kemampanan minyak sawit dalam barangan pengguna sama ada makanan, minuman mahupun penjagaan diri,” katanya.

Terdahulu, Mohd Haris turut menyampaikan ceramah bertajuk Pembohongan, Pembohongan Keji dan Perangkaan: Bagaimana Kita Boleh Menang yang menekankan tentang usaha menangkis maklumat tidak tepat berhubung minyak sawit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN