KKDW kongsi kepakaran, sasaran capai kemajuan dalam tiga tahun
KUALA LUMPUR: Malaysia komited membantu Timor-Leste membangunkan sektor luar bandar melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki negara ini dalam bidang pembangunan desa.
Komitmen itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Luar Bandar antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan Timor-Leste yang merangkumi lima bidang utama.
Antara kerjasama yang dimeterai Malaysia dan Timor-Leste merangkumi pelbagai bidang utama termasuk pembangunan modal insan, digitalisasi, pengukuhan ekonomi, kepakaran spesifik sektor serta bidang kerjasama lain berkaitan pembangunan luar bandar.
Fokus utama kerjasama itu adalah pembangunan modal insan melalui pelaksanaan latihan khusus, bengkel, seminar, lawatan sambil belajar serta pertukaran tenaga pakar antara kedua-dua negara.
Dari segi digitalisasi, kedua-dua pihak akan bekerjasama meningkatkan keterangkuman dan kemahiran digital bagi memperkukuh transformasi serta mempromosikan perdagangan digital di kawasan luar bandar.
Selain itu, kerjasama turut meliputi usaha pengukuhan ekonomi luar bandar dengan menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri tempatan, agropelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Kedua-dua negara juga akan bertukar pengetahuan dan amalan terbaik dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan utama seperti program pembasmian kemiskinan luar bandar, di samping meneroka bidang kerjasama lain berkaitan pembangunan luar bandar yang akan dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memberi komitmen berkongsi pengalaman Malaysia membangunkan kawasan luar bandar.
“Pada 1957, ketika itu 93 peratus penduduk Malaysia tinggal di luar bandar. Kini pada 2025, hanya 24.7 peratus atau 8.1 juta penduduk tinggal di luar bandar, manakala selebihnya berada di pinggir bandar atau kawasan bandar.
“Apa yang dipanggil sebagai mobiliti sosial mendatar berlaku dengan cara terancang. Pengalaman inilah yang kita mahu kongsi dengan Timor-Leste.
“Kami yakin bahawa Timor-Leste akan mengadakan pembangunan di luar bandar lebih cepat iaitu maksimum tiga dekad berbanding Malaysia yang mengambil masa kira-kira enam dekad untuk mencapai keadaan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Luar Bandar dengan Timor-Leste mewakili Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, Selasa lalu.
Tambah Ahmad Zahid, Malaysia akan meneliti semula beberapa aspek utama termasuk perundangan dan insentif pelaburan bagi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk melabur di Timor Leste.
Katanya, usaha ke arah itu sudah dimulakan namun jumlah pelabur dari Malaysia di negara berkenaan masih belum memberangsangkan.
“Kita perlu melihat beberapa aspek termasuk dari segi perundangan tanah perlu diselesaikan, insentif, pelaburan langsung asing (FDI) serta cukai yang pada hemat saya boleh diperincikan dengan kemasukan dan keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN.
“Perundangan di Timor-Leste agak berlainan berbanding Malaysia memandangkan mereka diperintah begitu lama oleh Portugis dan selepas itu pula oleh Indonesia.Sebelum ini, kita (Malaysia) dijajah oleh British, jadi kita menggunakan banyak sistem British. Oleh itu perlu ada keseragaman dari segi perundangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar berkata, adalah penting untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan di rantau ini tidak meminggirkan negara anggota.
“Jika dilihat dari segi geografi, Timor-Leste terletak dalam lingkungan ASEAN. Justeru, kita tidak mahu negara itu terpinggir daripada arus pembangunan serantau.
“Oleh itu, apabila kita bercakap tentang pembangunan, kita memerlukan rakan strategik di peringkat serantau. Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN merupakan satu platform penting untuk membantu negara itu membangunkan ekonominya melalui kerjasama serta sokongan daripada negara-negara ASEAN lain,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar di Malaysia boleh dijadikan model perkongsian bersama Timor-Leste, termasuk aspek pembekalan elektrik dan air luar bandar, pembinaan jambatan serta kemudahan asas lain.
“Pada masa sama, untuk mencapai tahap pembangunan infrastruktur luar bandar yang mampan, kita juga perlu menumpukan kepada pembangunan sosioekonomi serta penyediaan peluang pembangunan modal insan seperti latihan TVET.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu memperkukuh pembangunan fizikal luar bandar, tetapi turut memperkasa komuniti secara menyeluruh dan holistik. Jadi inilah yang kita ingin kongsikan dengan pihak Timor-Leste,” katanya.-UTUSAN










