KUALA LUMPUR: Malaysia antara pasaran berpotensi tinggi di ASEAN dalam sektor inovasi, teknologi dan fintech, menurut Dewan Perniagaan Dubai (Dubai Chambers) yang kini giat memperluas rangkaian pelaburan dan kerjasama perdagangan di rantau ini.
Naib Presiden Eksekutif, Hal Ehwal Antarabangsa, Dubai Chambers, Salem Al Shamsi berkata, Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai hab pembuatan dan industri, tetapi mempunyai kekuatan tersendiri dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi dan kewangan Islam.
“Malaysia sememangnya sebuah hab industri dan pembuatan yang kukuh. Dalam masa sama, terdapat banyak potensi besar dalam sektor kewangan, khususnya kewangan Islam.
“Namun sektor yang paling menonjol dan menarik minat Dubai ketika ini ialah inovasi, teknologi dan fintech,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat perniagaan dua hala antara syarikat Malaysia dan Dubai di sini, semalam.
Menurut beliau, Dubai tidak mengehadkan tumpuan kepada sektor tertentu, sebaliknya terbuka kepada pelbagai bentuk kerjasama yang boleh memberi manfaat dua hala.
“Kami tidak mahu hanya fokus pada satu atau dua industri. Dubai terbuka kepada pelbagai idea dan peluang, tetapi inovasi, teknologi dan fintech memang menjadi bidang yang semakin berkembang dan kami melihat Malaysia berada pada landasan yang tepat,” katanya.
Mesyuarat perniagaan dua hala antara syarikat Malaysia dan Dubai turut disertai 20 syarikat dari pelbagai sektor, dengan sesi padanan perniagaan (B2B) yang menunjukkan minat mendalam terhadap pasaran Malaysia.
Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Dubai juga semakin kukuh apabila perdagangan bukan minyak antara kedua-dua pasaran mencecah hampir AS$5 bilion sehingga tahun lalu, selain peningkatan ketara dalam pelaburan langsung asing (FDI) dari Malaysia ke Dubai.
Dubai Chambers menjangkakan potensi baharu dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi hijau, penyelesaian digital dan perkhidmatan kewangan berasaskan inovasi, terutama selepas termeterainya beberapa perjanjian strategik termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) antara United Arab Emirates (UAE) dan Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, nisbah perdagangan Malaysia terhadap KDNK berada pada 134 peratus, salah satu yang tertinggi di dunia.
“Ini menunjukkan betapa eratnya integrasi Malaysia dalam ekonomi global.
“Oleh sebab itu, Malaysia memberi penekanan yang kuat terhadap pengembangan dan pemelbagaian hubungan perdagangannya. Prestasi perdagangan Malaysia terus menjadi lambang kekuatan ekonomi kita,” katanya. – UTUSAN










