Malaysia berpotensi jadi hab awan strategik serantau

Malaysia berpotensi jadi hab awan strategik serantau

MAO Gen Foo pelancaran Singapore Core Cloud Region yang baharu di Singapura semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Malaysia terus menonjol sebagai destinasi strategik bagi pertumbuhan ekonomi digital serantau, dengan potensi besar untuk muncul sebagai hab awan (cloud hub) baharu di Asia Tenggara.

Naib Presiden, Jualan, Asia Utara dan Asia Tenggara Genesys, Mao Gen Foo berkata, sebagai penyedia penyelesaian pengalaman pelanggan berasaskan awan (cloud CX), kedudukan Malaysia yang strategik, tenaga kerja mahir serta sokongan dasar kerajaan menjadikannya tumpuan utama dalam peta transformasi digital rantau ini.

Katanya, buat masa ini, pelanggan tempatan masih dilayan melalui Singapore Core Cloud Region, sejajar dengan peraturan pemindahan data rentas sempadan antara kedua-dua negara.

“Namun, kami tidak menolak kemungkinan memperluas kehadiran fizikalnya di Malaysia sekiranya keperluan pasaran dan permintaan perkhidmatan terus meningkat.

“Malaysia mempunyai potensi besar dari sumber asli hingga tenaga kerja yang mahir. Dengan sokongan kerajaan melalui MyDigital dan minat terhadap kecerdasan buatan (AI), ini bukan lagi persoalan jika, tetapi seberapa cepat Malaysia mampu memacu transformasi digitalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran Singapore Core Cloud Region yang baharu di sini.

Menurutnya, Malaysia terus dilihat sebagai tonggak penting dalam pertumbuhan ekonomi dan transformasi digital Asia Tenggara.

“Dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mempengerusikan ASEAN, kita melihat banyak inisiatif serantau dan perjanjian perdagangan baharu sedang digerakkan.

“Ini menjadikan Malaysia komponen strategik dalam kisah pertumbuhan kami di rantau ini,” katanya.

Beliau turut memuji usaha kerajaan melalui pelan MyDigital dan National AI Strategy yang menekankan pembangunan bakat digital tempatan.

Beliau berkata, pelancaran wilayah awan baharu di Singapura dijangka memberi pelbagai manfaat kepada pelanggan Malaysia, termasuk prestasi yang lebih pantas dan kepatuhan peraturan yang lebih mudah.

“Lokasi yang lebih berdekatan, isu rangkaian dapat dikurangkan, sekaligus meningkatkan kelajuan dan pengalaman pelanggan.

“Tambahan pula, kerjasama rapat antara pengawal selia Malaysia dan Singapura dalam urusan pemindahan data akan memudahkan sektor yang dikawal selia ketat seperti kewangan dan telekomunikasi beralih kepada teknologi awan dan Kecerdasan Buatan (AI),” tambahnya.

Beliau berkata, dengan pertumbuhan pesat penggunaan AI, kelajuan tindak balas dan kecekapan sistem menjadi faktor kritikal.

“Interaksi berasaskan AI memerlukan ketepatan dan kelancaran, kelewatan sekecil mana pun boleh menjejaskan pengalaman pengguna,” katanya.

Gen Foo berkata, walaupun berpotensi besar, organisasi di Malaysia masih berdepan beberapa cabaran dalam memperluas penggunaan AI.

Katanya, antara halangan utama adalah pemecahan sistem teknologi yang tidak seragam dan kekurangan tenaga mahir dalam bidang AI.

“Banyak syarikat masih menggunakan penyelesaian berasingan. Bagi benar-benar memanfaatkan AI, perlu ada platform strategik yang menyatukan data dan operasi,” katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap kos pelaksanaan AI, beliau berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada nilai perniagaan yang dihasilkan, bukan sekadar kos sistem.

“Kami membantu pelanggan mengenal pasti masalah perniagaan utama dan mengutamakan kes penggunaan AI yang memberi impak segera. Pendekatan ini menekankan nilai dan keberkesanan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×