Malaysia berisiko kena tarif hingga 50% jika gagal tandatangan ART

Malaysia berisiko kena tarif hingga 50% jika gagal tandatangan ART

MENARA MITI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berisiko berdepan kenaikan tarif timbal balas sehingga 50 peratus terhadap barangan eksport ke Amerika Syarikat (AS) sekiranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara kedua-dua negara tidak ditandatangani.

Berdasarkan dokumen rasmi ART yang disiarkan di laman web Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), langkah tidak menandatangani perjanjian itu bakal memberi kesan besar kepada pasaran eksport Malaysia termasuk sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E), aeroangkasa, getah, koko dan farmaseutikal.

Menurut dokumen tersebut, jumlah dagangan dua hala Malaysia-AS pada 2024 berjumlah RM325 bilion dengan nilai eksport Malaysia ke AS mencecah RM198.65 bilion, menjadikan AS sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah eksport ke negara itu direkodkan sebanyak RM166.38 bilion.

“Sekiranya ART tidak ditandatangani, eksport Malaysia akan dikenakan tarif timbal balas pada kadar asal 24 peratus atau lebih tinggi sehingga 30, 40 atau 50 peratus mengikut ketetapan AS,” kata dokumen berkenaan.

Selain itu, tiada barangan eksport Malaysia akan dikecualikan daripada tarif 19 peratus yang dikenakan secara timbal balas oleh AS.

Eksport Malaysia yang tertakluk di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 khususnya produk semikonduktor dan farmaseutikal turut berdepan risiko tarif tinggi apabila pelaksanaan peraturan perdagangan baharu AS dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Sebagai rujukan, nilai eksport semikonduktor Malaysia ke AS pada 2024 berjumlah RM56.2 bilion sekali gus menggambarkan betapa besarnya implikasi terhadap ekonomi negara sekiranya pasaran itu terjejas.

“Malaysia dilihat perlu mempertahankan akses ke pasaran kritikal AS yang telah dirundingkan demi kepentingan negara dan kesinambungan ekonomi.

“Perjanjian ART bukan sekadar dokumen perdagangan, tetapi turut menyentuh kehidupan jutaan rakyat Malaysia serta ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada eksport dalam sektor utama negara.

“Sebarang kelewatan atau kegagalan menandatangani ART boleh mengganggu keseluruhan ekosistem perindustrian dan memberi kesan langsung terhadap sumber pendapatan rakyat,” kata dokumen itu lagi.

Selain itu, kegagalan Malaysia bertindak segera atau mengekalkan komitmen perdagangan sedia ada boleh menyebabkan rantaian industri terganggu, kehilangan pekerjaan besar-besaran, penutupan operasi pengeluaran, dan akhirnya memberi kesan langsung terhadap pendapatan isi rumah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN