PETALING JAYA: Penyanyi popular, Nubhan mengakui ibunya, Badariah Omar, atau lebih mesra disapa Mak Jenny, tidak mengetahui sebarang spekulasi yang tular di media sosial berhubung isu rumah tangganya bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menurut Nubhan, ibunya yang kini berusia 80 tahun menjalani kehidupan seperti biasa dan hanya menonton televisyen selepas dimaklumkan penyanyi itu menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-12.
“Mak saya tak tahu apa-apa. Dia di rumah cuma tonton televisyen. Itupun bila saya beritahu ‘mak, adik masuk GV, tolong doakan’.
“Mak tak tahu apa yang berlaku di media sosial, tak tahu orang mengata. Dia cuma tahu saya dan isteri sudah berpisah. Tapi hidupnya tetap seperti biasa. Usianya pun sudah lanjut, kadang-kadang pun terlupa, badan pun sakit-sakit,” katanya semasa temu ramah bersama pihak media selepas konsert minggu kedua Gegar Vaganza, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Nubhan, 39, mengakui bukan mudah untuk memberi fokus sepenuhnya kepada pertandingan ketika rumah tangganya menjadi perhatian umum.
“Saya cuba kuat, untuk terus fokus walaupun memang susah. Saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.
“Saya ini orang biasa, mudah rasa lemah. Jadi saya hanya mohon kekuatan dan doa agar terus diberikan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam Gegar Vaganza,” ujarnya.
Penyanyi lagu Kekasih Untukku itu berkata, ibu serta tiga orang anaknya menjadi sumber kekuatan utama untuk dirinya terus bertahan dalam fasa kehidupan yang mencabar ini.
“Kekuatan saya adalah anak-anak dan mak saya. Kalau tak ada mereka, saya mungkin tak sekuat sekarang.
“Saya rasa cukuplah bercakap tentang perkara ini. Apa pun saya bersyukur kerana peminat dan rakan-rakan banyak memberikan sokongan dan kepercayaan. Kalau tidak, saya mungkin tidak berdaya untuk terus membuat persembahan.
“Tekanan daripada Gegar Vaganza ditambah pula dengan isu peribadi menjadikan saya perlukan sekecil-kecil semangat untuk terus kuat,” katanya.
Terdahulu, selepas lebih sedekad melayari bahtera perkahwinan, Nubhan dilaporkan telah menceraikan isterinya dan memfailkan pengesahan lafaz talak di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Mahkamah menetapkan 2 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai berkenaan. -UTUSAN










