Eksplorasi kreatif Nurina di atas denim

Eksplorasi kreatif Nurina di atas denim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan contengan kecil di atas helaian kertas kosong bersama sepupu ketika zaman kanak-kanak, siapa sangka detik yang pada awalnya sekadar aktiviti santai itu akhirnya menumbuhkan minat mendalam terhadap seni lukis dalam diri Nurina Kamilia Azmin, 24.

Pada waktu itu, melukis hanyalah cara untuk mengisi masa lapang di rumah, tanpa sebarang tekanan mahupun sasaran tertentu.

Dia sering duduk bersebelahan sepupunya, memerhati dengan penuh minat setiap lakaran yang terhasil sebelum cuba meniru gaya tersebut mengikut kemampuannya sendiri.

Walaupun hasil awalnya sekadar bentuk ringkas dan tidak begitu kemas, rasa teruja melihat warna dan garisan membentuk imej sudah cukup membuatkan dia terus mencuba.

Minat itu semakin berkembang apabila rakan-rakan di sekolah turut menunjukkan kecenderungan yang sama dalam bidang seni.

Persekitaran yang dikelilingi individu kreatif secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus memperbaiki kemahiran.

“Dari kecil saya suka melukis dan minat itu membawa hingga ke besar. Saya mula cuba pelbagai gaya serta bentuk seni yang berbeza,” katanya kepada Seri.

Anak jati Selangor itu tidak pernah mengikuti pendidikan formal dalam bidang seni halus mahupun reka bentuk.

Sebaliknya, dia merupakan graduan Sarjana Muda Periklanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Walaupun latar belakang akademik berbeza tetapi ia tidak memadamkan minatnya terhadap seni lukis, malah sedikit sebanyak membantu dari sudut pemahaman visual dan susunan warna.

Bagi Nurina Kamilia, melukis bukan sekadar menghasilkan gambar yang cantik di atas kertas atau kanvas.

Sebaliknya, ia merupakan satu proses yang memberi ruang untuk dirinya ‘bernafas’ dan menenangkan fikiran selepas melalui hari yang panjang.

Setiap sapuan warna dan garisan halus yang dilakar dengan teliti seolah-olah menjadi terapi senyap yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Adakalanya, dia melukis secara spontan, tetapi tidak dikongsikan kerana hanya sekadar lakaran ringkas dan belum siap sepenuhnya untuk dijadikan identiti sendiri.

Pada awalnya, dia banyak melukis watak kartun yang ditonton di televisyen dan karakter daripada komik yang dibaca ketika kecil.

Setiap lukisan yang siap memberi kepuasan kerana dapat melihat imaginasi sendiri menjadi nyata di atas kertas.

 

Lukis waktu malam
Bagi Nurina Kamilia, waktu malam merupakan tempoh paling ideal untuk meluangkan masa bersama hobinya itu.

Selepas selesai semua urusan harian, dia biasanya menggunakan bilik tidur sebagai ruang melukis, dengan satu sudut kecil yang ada meja dan barang-barang lukisan.

Ruang itu digelar sebagai studio mininya, walaupun hanyalah dilengkapi sebuah meja tulis.

Suasana yang lebih sunyi dan kurang gangguan membolehkannya memberi tumpuan penuh terhadap setiap perincian kecil dalam lukisan.

“Inilah cara saya masuk ke dalam dunia sendiri, macam zon selamat daripada tekanan harian. Ia seperti terapi yang membolehkan saya mengosongkan fikiran sepenuhnya,” katanya.

Dalam keheningan malam, idea dirasakan lebih mudah hadir dan berkembang tanpa tekanan luar.

Kadangkala dia tidak menyedari masa berlalu kerana terlalu asyik menyempurnakan satu bahagian kecil pada karya yang dihasilkan.

“Bila suasana sunyi dan tenang, saya rasa lebih fokus dan emosi pun lebih stabil untuk berkarya,” katanya.

Pada hujung minggu pula, dia sanggup meluangkan masa berjam-jam lamanya dari pagi hingga ke malam demi memastikan lukisan yang dihasilkan benar-benar menepati jangkaannya sendiri.

Baginya, waktu malam bukan sekadar masa untuk melukis, tetapi ruang peribadi yang memberi ketenangan dan kepuasan.

Cabaran
Walaupun kelihatan menyeronokkan, proses menghasilkan sesuatu karya bukanlah semudah yang disangka.

Antara cabaran terbesar dihadapinya ialah melukis watak anime yang memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

Struktur wajah, kedudukan mata, bentuk bibir dan bayangan warna perlu diselaraskan dengan tepat agar karakter tersebut kelihatan hidup.

Kesilapan kecil pada bahagian ekspresi boleh mengubah keseluruhan emosi watak yang ingin ditampilkan.

“Saya memang suka lukisan yang terperinci dan kemas, tetapi untuk mencapai tahap itu memang memerlukan masa panjang dan kesabaran tinggi,” katanya.
Ada kalanya dia perlu memadam dan melukis semula beberapa bahagian sehingga benar-benar berpuas hati dengan hasilnya.

Namun, setiap kesilapan yang berlaku dianggap sebagai proses pembelajaran yang mematangkan kemahiran serta memperhalusi teknik.

Rasa puas yang hadir apabila lukisan berjaya disiapkan dengan sempurna menjadi ganjaran paling berharga buat dirinya.

 

Pilih barang berkualiti
Dalam memastikan hasil kerja kekal cantik dan tahan lama, Nurina Kamilia amat menitikberatkan soal pemilihan bahan dan peralatan.

Bagi lukisan pada denim dan kanvas, jenis cat yang digunakan perlu sesuai agar warna tidak mudah merekah atau pudar selepas dicuci dan digunakan.

Dia akan melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat pembelian, termasuk membaca ulasan dan mendapatkan pandangan daripada komuniti seni dalam talian.

“Bagi memastikan hasil kerja tahan lama, saya ambil serius soal kualiti bahan,” katanya

Ujarnya, penggunaan bahan berkualiti mencerminkan tahap kesungguhan terhadap setiap karya yang dihasilkan.

Ia juga memberi keyakinan yang setiap lukisan mampu bertahan dalam jangka masa panjang tanpa menjejaskan keindahannya.

Inspirasi untuk menghasilkan rekaan baharu banyak diperoleh melalui platform digital yang menjadi rujukan hariannya.

Antaranya ialah Instagram, Rednote (XHS) dan Pinterest.

Dia juga meluangkan masa menonton tutorial di YouTube dan TikTok bagi mempelajari teknik baharu serta memperhalusi kemahiran sedia ada.

Proses pembelajaran dilakukan secara kendiri melalui pemerhatian, percubaan dan latihan berulang kali.

Selain itu, imaginasi sendiri turut memainkan peranan penting dalam mencipta rekaan yang lebih peribadi.

“Saya cuba faham apa yang orang suka dan dalam masa sama kekalkan gaya sendiri supaya setiap karya ada identiti,” katanya.

Sumber pendapatan
Setelah sekian lama menjadikan melukis sebagai hobinya, Nurina Kamilia mula menerima permintaan daripada rakan-rakan yang tertarik dengan hasil karyanya.

Pada peringkat awal, tempahan datang secara kecil-kecilan dalam kalangan kenalan terdekat yang ingin memberi sokongan.

Maklum balas positif yang diterima sedikit demi sedikit membina keyakinan untuk menerima lebih banyak komisen.

“Saya tidak meletakkan harga terlalu tinggi kerana bukan pelukis profesional dan hanya belajar secara sendiri.

“Setakat ini, bayaran yang pernah diterima bagi tempahan lukisan adalah antara RM50 hingga RM200,” katanya.

Apa yang pada awalnya sekadar hobi di masa santai, kini berkembang menjadi perniagaan kecil yang diuruskan sendiri dengan penuh komitmen dan kesungguhan.

Setiap tempahan dianggap peluang untuk memperbaiki mutu kerja dan membina hubungan baik dengan pelanggan.

Walaupun kini menerima tempahan secara konsisten, dia tetap menjadikan seni sebagai ruang peribadi yang menghadirkan ketenangan serta kepuasan jiwa.

Selain lukisan, Nurina Kamilia turut meneroka seni hiasan kuku sebagai cabang baharu bagi minat kreatifnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN