Lokasi loji nuklear pertamanegara masih di peringkat kajian

Lokasi loji nuklear pertama negara masih di peringkat kajian

Loji nuklear kebiasaannya dibina di lokasi berhampiran laut bagi tujuan penyejukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai lokasi penempatan loji janakuasa nuklear pertama negara kerana proses berkenaan masih berada di pe­ringkat kajian dan memerlukan penilaian teknikal yang mendalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penilaian tapak akan dibuat secara terperinci berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk ketersediaan sumber air untuk penyejukan, sambungan ke grid nasional, kemudahan logistik seperti pelabuhan, selain keadaan geologi dan seismik setempat.

Katanya, penilaian tersebut penting bagi memastikan kesta­bilan struktur loji serta kese­lamatan operasi jangka panjang, dan keputusan muktamad hanya akan dipertimbangkan selepas semua prasyarat kese­lamatan, teknikal dan dasar dipenuhi.

“Malaysia juga sedang meneliti keperluan memeterai Perjanjian Kerjasama Nuklear Sivil dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah Seksyen 123 Akta Tenaga Atom atau Perjanjian 123 sebagai syarat asas sebelum sebarang pemindahan bahan, peralatan, teknologi atau reka bentuk reaktor nuklear dari negara itu dapat dijalankan.

“Kandungan Perjanjian 123 menekankan penggunaan nu­klear untuk tujuan aman, kawalan eksport, pematuhan piawaian keselamatan dan sekuriti serta pemantauan berterusan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) berhubung perincian perjanjian nuklear sivil antara Malaysia dan Amerika Syarikat, alasan pemilihan negara itu serta negeri yang dijangka menjadi lokasi loji tenaga nuklear pertama.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, AS merupakan pemegang utama harta intelek dalam teknologi kuasa nuklear dan kitaran bahan api nuklear.

“Melalui perjanjian itu, Malaysia turut berpeluang mengakses teknologi dan reka bentuk loji daripada negara se­perti Jepun, Perancis dan Korea yang banyak berasaskan harta intelek milik AS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN