Mengagungkan budaya asing kikis jati diri masyarakat

Mengagungkan budaya asing kikis jati diri masyarakat

FADILLAH Yusof (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Anwar Ridhwan (kiri) pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sikap mengagungkan budaya asing secara berlebihan berpotensi melemahkan identiti bangsa serta menghakis jati diri masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu terjadi sekiranya jika ia tidak diseimbangkan dengan penghayatan nilai dan budaya tempatan.

Kata beliau, kecemerlangan sesebuah negara tidak wajar diukur hanya melalui pembangunan fizikal dan ekonomi sebaliknya dinilai melalui kekuatan akhlak, nilai dan pembangunan insaniah rakyat.

“Cabaran pembangunan insaniah menjadi semakin kompleks sewaktu era kepesatan teknologi dan dunia tanpa sempadan.

“Tanpa imbangan nilai dan jati diri, budaya materialisme dan konsumerisme boleh menghakis kemanusiaan, manakala pengagungan budaya asing secara berlebihan berpotensi melemahkan identiti bangsa.

“Perubahan sikap dan tindakan manusia hanya dapat digerakkan melalui sentuhan nurani melalui keindahan bahasa, kekuatan naratif dan kebijaksanaan pemikiran yang tersirat dalam karya sastera,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Fadillah berkata, penulis dan sasterawan perlu tampil sebagai suara penimbang tara dalam masyarakat dengan menyampaikan kritikan secara berhemah bagi mengelakkan polarisasi pemikiran dan emosi yang melampau. 

“Para penulis dan sasterawan, teruskan berkarya dengan berani, jujur dan bertanggungjawab. Jadikan pena sebagai alat pencerahan minda, pemerkasaan nilai kemanusiaan dan penyatuan bangsa.

“Kerajaan sentiasa menyokong usaha memperkasa ekosistem penulisan kreatif, termasuk melahirkan bakat baharu, memperluas ruang penerbitan serta memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap karya sastera tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN