Lepasan UniSIRAJ dapat perhatian, kebolehpasaran graduan cecah 94.1 peratus

Lepasan UniSIRAJ dapat perhatian, kebolehpasaran graduan cecah 94.1 peratus

MUHAMAD Rozaimi Ramle (tengah) dalam sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen UniSIRAJ Ke-8 di Dewan 2020, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lepasan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) semakin mendapat perhatian dalam pasaran kerja, dengan kebolehpasaran graduan (GE) merekodkan sehingga 94.1 peratus.

Naib Canselornya, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, perkembangan tersebut satu pencapaian agak tinggi buat institusi pengajian tersebut yang telah melahirkan ramai graduan berkualiti dalam pelbagai sektor.

Katanya, lepasan UniSIRAJ yang menamatkan pengajian kelaziman akan berada dalam beberapa sektor seperti swasta, kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ekonomi gig.

“UniSIRAJ terus berkembang pesat dan kita juga merancang menambah program baharu antaranya seperti Sarjana Muamalat dan Kewangan Islam serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal yang dijangka pada Februari tahun depan dan telah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen UniSIRAJ Ke-8 di sini, hari ini.

Sempena istiadat konvokesyen berkenaan, seramai 361 graduan diraikan merangkumi mereka dari Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan dan Fakulti Al-Quran dan Sunnah denngan 11 penerima merupakan graduan kelas pertama selain terdapat 15 graduan antarabangsa.

Muhamad Rozaimi berkata, dasar UniSIRAJ memberi fokus bagi melahirkan pencinta sunnah dengan keterbukaan, kepakaran, kemandirian dan menghormati pihak berlainan pandangan.

“Kita latih pelajar kita untuk bersifat terbuka dan dalam masa sama, menghormati perbezaan pandangan dengan mementingkan sumber serta hujah-hujah akademik. Hasilnya, kita dapat lihat apabila beberapa pelajar kita berjaya melepasi temuduga tauliah mengajar di Perlis.

“Kita sentiasa latih mereka ini supaya diberi pendedahan awal agar bersedia apabila turun ke bawah nanti untuk melakukan ‘street dakwah’, program-program kemasyarakatan, daurah Ilmiah dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata, institusi pengajian itu turut mensasarkan berpindah ke kampus tetap di Sungai Chuchuh, Padang Besar dalam tempoh lima tahun akan datang, malah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga telah memulakan proses tersebut.

“Perancangan sedang berjalan ketika ini termasuk dengan pelaksanaan bengkel awal bagi pembinaan kampus tetap yang mampu memuatkan kira-kira 4,800 pelajar di atas tanah seluas 40.469 hektar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN