LENGGONG: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan terjunam ke bawah bukit di Jalan Lenggong-Kuala Kangsar dekat Kampung Kelantan di sini hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.28 pagi.
Katanya, kemalangan membabitkan kereta jenis Honda Accord dipandu lelaki berusia 28 tahun.
“Pemeriksaan mendapati mangsa tersepit dalam kenderaan yang dihempap tiang elektrik yang tumbang.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian risiko seterusnya mengaplikasikan konsep Saver dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan pemotong hidraulik untuk membuka ruang kerja.
“Setelah pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selesai membuat pemotongan elektrik, kerja-kerja pengalihan tiang yang menghempap mangsa segera dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, setelah lelaki itu dapat dikeluarkan dari kenderaan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 9.50 pagi,” katanya. – UTUSAN










