SEREMBAN: Lelaki yang maut ditembak di depan sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan di sini, semalam mempunyai 42 rekod jenayah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua jenayah dilakukannya melibatkan pelbagai kesalahan seperti samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.
Beliau berkata, polis menerima makluman mengenai kejadian tembakan dan serangan menggunakan senjata tajam itu pada pukul 11.23 malam.
Katanya, mangsa yang berusia 33 tahun itu bersama keluarganya ke sebuah restoran berhampiran tempat kejadian untuk makan malam.
“Ketika sedang menuju ke kenderaan, beberapa buah kereta yang dinaiki enam suspek bertutup muka telah menghalang kereta mangsa.
“Suspek yang disyaki bersenjata pistol dan parang telah keluar dan menyerang mangsa yang kemudian melarikan diri ke arah jalan raya.
“Namun suspek terus mengejar mangsa dan melepaskan tembakan diikuti serangan menggunakan parang sehingga mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alzafny, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan awal terdapat kesan tembakan dan tetakan pada tubuh mangsa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Polis giat memburu kesemua suspek dan mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian. Motif kejadian dan identiti semua suspek masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN











