PASIR MAS: Lelaki warganegara Malaysia, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut ditembak di Sungai Golok, Thailand tidak sempat menimbang cahaya mata sulungnya yang dijangka lahir pada 10 Disember ini.
Lebih meruntun jiwa, detik bersejarah itu sama dengan tarikh lahir Allahyarham sekali gus memberikan kesan mendalam buat isteri mangsa Wan Fatihah Mat Hussin, 35.
Ibu Allahyarham, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, anak keempat dari enam beradik itu pulang ke rumah pada Khamis lalu menziarahi keluarga sebelum kembali ke Golok pada jam 3 petang semalam.
Katanya, arwah yang berniaga beg terpakai secara dalam talian bersama isteri itu sering berulang alik ke sini walaupun tinggal di Sungai Golok.
“Mengikut jangkaan doktor, isteri arwah (Wan Fatihah) akan bersalin pada 10 Disember yang sama dengan tarikh lahirnya.
“Anak saya berkahwin dengan Wan Fatihah pada tahun 2023 dan ini merupakan cahaya mata sulungnya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kepas Apam di sini hari ini.
Zaiton memberitahu, anak dan menantunya itu mengenali individu yang bertindak menyerang mereka.
Katanya, dia turut menafikan kejadian itu berpunca daripada Mohd. Fuad mempunyai hutang.
“Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Apam Surau selepas solat Zohor,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, angkara hutang, seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Sungai Golok.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu mengakibatkan Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, Kelantan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Jurucakap polis Narathiwat ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kes tersebut berpunca daripada masalah hutang hasil temubual dengan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi. – UTUSAN









