KUANTAN: Seorang lelaki mendakwa dipukul dan diserang menggunakan pisau serta pistol oleh sekumpulan lelaki termasuk membabitkan seorang kerabat diraja Pahang dalam kejadian di sebuah kandang kuda di sini, Jun lalu.
Mangsa Alias Awang, 44, berkata, kesan daripada serangan tersebut, dia mengalami kecederaan di bahagian paha kanannya.
Cerita mangsa, kejadian itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 8 Jun lalu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, di sini.
Mengimbau perkara itu, sebelum kejadian pada pukul 12.20 hingga 3 pagi itu, dia dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Fauzi yang memintanya hadir ke kandang kuda berkenaan.
“Saya disuruh berjumpa di kandang itu pada pukul 12.30 tengah malam. Ketika itu saya sudah berasa pelik seperti tidak ada waktu siang untuk berbincang.
“Namun saya tetap pergi dan sebaik sahaja sampai ke kandang kuda itu, saya ditarik oleh anak kerabat diraja itu ke dalam sebuah kabin sebelum diserang 20 orang lelaki.
“Saya cuba melarikan diri tetapi telah dikepung sekumpulan lelaki. Berlaku pergaduhan ketika itu sebelum anak kerabat Pahang itu melepaskan tembakan ke arah saya. Tembakan itu tidak kena saya, namun ditikam oleh seseorang lelaki di bahagian paha kanan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selepas cedera, dakwa Alias yang kini berada di satu lokasi dirahsiakan demi keselamatannya, dia dihantar pulang.
Katanya, dia berasa hairan kerana selepas laporan polis dibuat, sehingga kini dia belum menerima sebarang perkembangan kes.
“Cumanya saya ada dipanggil dua hari lalu untuk polis siasat berkaitan kejadian,” kata Alias yang juga bekas anggota polis.
Ditanya adakah dia mengetahui punca diserang, katanya, ia ada kemungkinan mempunyai kaitan dengan isu tanah di Rompin.
“Sebenarnya saya tidak ada kaitan pun dengan tanah itu. Saya hanya menjalankan kerja saya sahaja seperti disuruh orang kampung.
“Tambahan pula tanah tersebut juga tidak ada kaitan dengan anak kerabat diraja itu,” katanya yang kini menjalankan kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan.
Tambahnya, selepas laporan polis itu dibuat, dia pernah menerima ugutan daripada pihak terlibat namun menganggap ugutan terbabit hanya sekadar mainan.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit.
“Kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan tetapi dihantar semula untuk dilengkapkan beberapa perkara. Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan menghantar semula kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Sementara itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda mahu polis menyiasat kes tersebut dengan segera, telus, adil dan tegas tanpa kompromi mana-mana pihak.
“Tiada siapa pun mengatasi undang-undang termasuk kerabat. Saya sesekali tidak akan melindungi mereka yang melanggar undang-undang,” titah Tengku Hassanal dalam satu hantaran di Instagram baginda. – UTUSAN










