KLANG: Seorang lelaki bertugas sebagai penyelia pengawal keselamatan berdepan detik cemas apabila ditembak pada jarak dekat oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian dekat pekan Kapar, di sini, semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.54 petang itu, lelaki berusia 46 tahun itu dilaporkan stabil walaupun tembakan menembusi bahagian tangan, rusuk serta bahu kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian tersebut dilaporkan kepada polis oleh petugas Klinik Kesihatan Kapar yang mendakwa menerima pesakit ditembak pada bahagian badan.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang menaiki sebuah kereta berwarna hitam telah menembak mangsa dari jarak dekat. Difahamkan sebanyak empat tembakan telah dilepaskan daripada suspek tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah ditembak di bahagian tangan, rusuk dan bahu kanan.
“Susulan itu, seramai lima suspek lelaki berusia 40 hingga 45 tahun telah ditangkap dalam tempoh tiga jam bermula pukul 10 malam di sekitar kawasan Kapar bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, motif kejadian masih dalam siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.
Justeru, Vijaya mengesan mana-mana individu yang mempunyai maklumat tersebut tampil menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan M. Sathiyaseelan di talian 012-5197913 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN










