PETALING JAYA: Cubaan seorang lelaki warga China menyeludup hampir tujuh kilogram (kg) dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM344,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada 28 Oktober lalu digagalkan.
Suspek ditahan di Balai Ketibaan KLIA2 hasil kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pengarah Kastam JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, imbasan terhadap bagasi suspek menunjukkan imej mencurigakan, mendorong pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi milik suspek menemui beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin yang dibalut aluminium dan disorok dalam ruang rahsia di bahagian pelapik kain beg.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 6,884 gram (6.8kg) dengan nilai melebihi RM344,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulkifli berkata, ketamin disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati,” jelasnya.
Zulkifli memaklumkan suspek sudah dituduh di mahkamah dan JKDM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi membanteras penyeludupan di pintu masuk negara.
JKDM turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat. – UTUSAN










