PUTRAJAYA: Edisi kedua Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 yang dijadual berlangsung esok hingga 8 November ini dijangka menarik lebih dua juta pengunjung.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah akan merasmikan festival itu menyasarkan 500,000 pengunjung fizikal dan 1.5 juta pengunjung maya bertemakan ‘MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea’.
Beliau berkata, festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu juga bakal menampilkan pelbagai pengisian ilmiah, interaktif dan hiburan berkualiti.
“Putrajaya FOI 2025 ini akan menonjolkan peranan Putrajaya sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi global,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan penganjuran Putrajaya FOI 2025 di sini, hari ini.
Katanya, Putrajaya FOI 2025 ini adalah kemuncak program selepas menamatkan siri jelajah FOI di 13 buah negeri yang berakhir bulan lalu.
Beliau berkata, majlis penutupan akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat selain pengisian ucaptama oleh kedua-dua timbalan perdana menteri masing-masing pada Selasa dan Rabu.
“Antara tarikan lain termasuk FOI Run Challenge sejauh lima dan 10 kilometer pada 8 November (Sabtu), yang dijangka menarik ribuan peserta dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang, selain itu, persembahan istimewa “Sounds of Malaysia” yang menampilkan artis terkenal seperti Aina Abdul dan Khai Bahar dengan kerjasama Istana Budaya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, satu lagi daya tarikan utama ialah Pameran 1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Civilization, yang membawa penonton menelusuri sumbangan agung tamadun Islam terhadap sains, teknologi dan kemanusiaan.
Jelasnya lagi, dari sudut ekonomi dan kolaborasi, festival ini bakal menyaksikan pemeteraian 67 perjanjian dengan pulangan pelaburan dianggarkan sebanyak RM163 juta, selain memperkenalkan 33 produk baharu dengan nilai ROI mencecah RM7.6 juta. – UTUSAN










