Lebih 90 calon SPM terjejas banjir teruskan peperiksaan di Kedah

Lebih 90 calon SPM terjejas banjir teruskan peperiksaan di Kedah

SEBAHAGIAN calon SPM sempat mengulangkaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan itu di SMK Yan, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Lebih 90 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di negeri ini tetap menduduki peperiksaan bertulis yang bermula hari ini meskipun rumah mereka dinaiki air.

Majoriti daripada mereka melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di Kubang Pasu serta selebihnya di daerah Kulim.

Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 41 pelajar yang direkodkan sehingga pukul 10 malam tadi.

“Ada yang datang ke sekolah lewat malam tadi selepas rumah mereka dinaiki air dan kini ditempatkan di asrama. Saya telah maklumkan kepada pihak sekolah agar bagi kelonggaran kepada calon kerana ada yang datang sehelai sepinggang,” katanya selepas meninjau peperiksaan SPM di SMK Yan, di sini, hari ini.

Tambahnya, calon SPM yang ditempatkan ke sekolah yang dijadikan PPS akan diasingkan ke asrama supaya mereka dapat mengulang kaji dengan lebih kondusif.

Abdul Rahim berkata, operasi membawa pelajar ke sekolah turut membabitkan kerjasama agensi keselamatan serta komuniti setempat termasuk penggunaan kenderaan berat yang mampu meredah banjir.

“Setakat ini tiada laporan calon dibawa dengan bot ke pusat peperiksaan atau asrama sekolah, namun tidak menolak kemungkinan sekiranya banjir menjadi semakin buruk dan kawasan tidak boleh dimasuki kenderaan berat.

“Pada masa sama pasukan kaunselor, termasuk Smart Support Team Majlis Guru Kaunseling (MGK) digerakkan ke sekolah dan PPS bagi 

memberi sokongan kepada pelajar dan murid yang terkesan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan seramai 30,001 calon di Kedah menduduki SPM 2025 dengan 285 pusat peperiksaan dan 10,969 petugas di seluruh negeri.

Katanya, sebanyak 79 sekolah dikenal pasti berisiko banjir, membabitkan 921 calon, dengan semua sekolah diarahkan menyediakan pelan operasi kecemasan termasuk pusat peperiksaan alternatif dan akses kepada aset penyelamat.

“Calon dan ibu bapa juga diminta merancang perjalanan lebih awal, tidak meredah banjir, menyimpan dokumen penting dalam bekas kalis air serta sentiasa memantau makluman rasmi sekolah dan Jabatan Pendidikan Kedah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN