Langkah yang wajar - Universal Music Malaysia turunkan video muzik Question - Utusan Malaysia

Langkah yang wajar – Universal Music Malaysia turunkan video muzik Question

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universal Music Malaysia serta mertabertindak menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital.

Menurut pengarah urusannya, Kim Lim, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti semula seluruh kandungan produksi dan maklum balas masyarakat terhadap video muzik lagu Question itu.

“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.

“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.

“Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.

Terdahulu, kumpulan berkenaan menerima kritikan hebat kerana tampil dalam video muzik tersebut dengan imej mencolok mata.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan aspek pemakaian selebriti beragama Islam.

Universal Music Malaysia juga menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sebegini berulang.

Pihak syarikat turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN