BUKAN memperlekeh apatah lagi menidakkan kemampuan rakan pelakon lain yang mahu mencuba nasib di padang merentas lautan, tetapi bagi aktor, Ashraf Muslim, dia ada misi sendiri merentasi kerohanian diri.
Jika ramai pelakon lain meletakkan sasaran menggenggam trofi Anugerah Akademi sebagai laras kepuasan diri, bagi Ashraf, dia mahu menjadikan lakonan itu sebagai ‘jalan’ untuk dia ke syurga abadi.
Lantas dia harus bijak mengatur langkah, memilih skrip dan watak yang mampu memberi peringatan bukan sahaja kepada penonton tetapi lebih penting dirinya sendiri supaya tidak lalai dalam menjalani kehidupan.
“Ini adalah salah satu sebab saya menerima tawaran untuk berlakon dalam telefilem terbitan TV AlHijrah, Bisikan Qarin. Sebuah drama seram yang mempunyai nilai cerminan diri dan peringatan.
“Telefilem ini mengingatkan saya tentang ujian iman dalam diri manusia sendiri. Ini bukan lagi soal sekadar lakonan, tetapi satu refleksi tentang sejauh mana kita kuat melawan hasutan dalaman.
“Saya berlakon bukan lagi untuk bersaing sesama pelakon tetapi mahukan pulangan semula kepada diri sendiri. Mungkin pelakon lain road to Oscar tapi saya nak road to jannah. Keduanya ada matlamat tersendiri,” ujarnya.
Bercakap soal Bisikan Qarin, watak sebagai Dr. Hilal memberi cabaran luar biasa kepada Ashraf kerana menuntut keseimbangan antara sisi spiritual dan emosi malah terikat juga dengan garis panduan stesen tersebut.
“Bila berlakon cerita yang patuh syariah ni, dia bukan sahaja penceritaan tetapi perlu ikut semua aspek syariah yang di luar kotak. Alhamdulillah, kru produksi dan rakan pelakon memberi kerjasama baik.
“Saya sudah beberapa kali berlakon di stesen TV AlHijrah sebelum ini, jadinya saya memahami dan terbuka berhubung garis panduan pihak mereka,” ujarnya.
Sebagai rakan gandingan Ashraf,, Nadiya Nisaa juga ‘melawan’ ketakutan sementelah Bisikan Qarin diterbitkan dalam genre seram dan kerohanian selain sarat mesej nilai dan penginsafan.
“Saya seorang yang penakut dan tidak suka dengan genre seram. Tetapi bila ditawarkan Bisikan Qarin, saya bertanyakan beberapa kali tentang jalan ceritanya.
“Bila baca terus jatuh cinta. Saya jarang dapat skrip seperti ini, ada elemen seram tapi mendidik jiwa.
“Saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada AlHijrah sebab dari awal dah fikir mungkin tidak akan jalan cerita yang terlalu meleret atau berlebihan” katanya.
NASKHAH BERBEZA
Karya arahan Ayie Mustafa itu menggabungkan unsur seram psikologi dan pengajaran rohani, menjadikannya naskhah berbeza daripada kebiasaan genre keagamaan yang pernah dihasilkan stesen itu.
Bisikan Qarin mengetengahkan tema tentang bisikan syaitan (qarin) yang menguji kekuatan iman manusia dengan pendekatan yang realistik namun tetap berpaksikan syariah.
Pengarahnya, Ayie Mustafa berkata, dia menumpukan kepada penceritaan beremosi dan visual sinematografi yang realistik, bagi menggambarkan perjuangan manusia melawan hawa nafsu dan bisikan jahat.
“Saya tidak mahu penonton hanya takut, tetapi mahu mereka berfikir. ‘Qarin’ dalam kisah ini bukan sekadar makhluk ghaib, tetapi simbol kepada bisikan dalaman yang selalu menjerumuskan kita ke jalan salah.
“Tetapi kalau ikut kepuasan, saya memang nak buat lebih lagi untuk nampakkan setiap watak itu ‘hidup’. Cuma ada batas-batas yang perlu dipatuhi, kita perlu ikut dan akur dengan perkara itu.
Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar pula berkata, Bisikan Qarin adalah antara usaha strategik stesen untuk menarik khalayak lebih luas terutama generasi muda tanpa mengabaikan prinsip kandungan berlandaskan Islam.
“Kita mahu buktikan kandungan Islamik juga boleh disampaikan dengan cara kreatif dan kontemporari. Bisikan Qarin mengetengahkan mesej akidah, tetapi dalam bentuk hiburan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
“TV AlHijrah kini giat memperkukuh kolaborasi dengan pengarah dan pelakon berpengalaman bagi mempertingkat mutu produksi tempatan berteras Islam. Kami mahu terus menjadi platform yang menggabungkan hiburan dan ilmu.
“Kita juga akan tayangkan di Al-Hijrah Plus (OTT) dahulu. Inilah dakwah dalam bentuk baharu yang boleh ditonton, difahami dan dirasai bersama,” katanya.
Selain Ashraf dan Nadiya, telefilem itu turut dibintangi oleh Intan Ladyana, Fezrul Khan dan Rashidah Jaafar. Bisikan Qarin terbitan Sha’s Media Sdn Bhd itu akan menemui penonton pada 9 November depan, pukul 9 malam di TV AlHijrah.










