PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu mengagihkan dividen lebih tinggi sekitar 6.50 peratus jika terus mengekalkan prestasi positif hingga akhir tahun ini.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, konvensional dan syariah, hasil daripada pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion.
Prestasi tahun ini dijangka lebih baik memandangkan setakat sembilan bulan tahun ini, KWSP telah merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion, lebih tinggi berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Institusi dana persaraan negara itu berpotensi meraih pendapatan pelaburan lebih tinggi seterusnya mengagihkan dividen sehingga 6.50 peratus pada tahun ini.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, momentum pelaburan stabil memberi asas baik untuk pembayaran dividen lebih tinggi pada tahun ini.
“Terdapat kemungkinan dividen KWSP meningkat tahun ini memandangkan pendapatan pelaburan menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya.
“Data suku pertama hingga suku ketiga 2025 juga menunjukkan peningkatan ketara dalam pendapatan pelaburan, didorong pemulihan pasaran ekuiti global dan prestasi positif aset luar negara.
“Pendapatan pelaburan setakat ini menunjukkan pertumbuhan stabil, terdapat kemungkinan dividen berada sedikit di atas paras tahun lalu jika momentum pasaran kekal positif,” katanya.
Kelmarin, KWSP mengumumkan pendapatan pelaburan bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 11 peratus kepada RM63.99 bilion daripada RM57.57 bilion direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.
Mohamad Idham, berkata, dorongan utama potensi kenaikan dividen adalah prestasi kukuh ekuiti global yang merupakan penyumbang terbesar kepada pulangan KWSP dan strategi pelaburan lebih terdiversifikasi antara aset domestik dan antarabangsa.
Ia turut termasuk pengurusan portfolio yang berhati-hati dalam memanfaatkan peluang pasaran ketika fasa pemulihan ekonomi.
“Pertumbuhan jumlah caruman dan penyertaan aktif pencarum melalui skim sukarela turut mengukuhkan kedudukan kewangan KWSP, sekali gus meningkatkan keupayaan dana tersebut untuk mengagihkan dividen yang lebih kompetitif,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, unjuran dividen KWSP tahun ini berkemungkinan menyamai 2024 berdasarkan pada prestasi pelaburan KWSP semasa, walaupun melaporkan peningkatan prestasi 11 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu.
“Ini disebabkan masih banyak faktor lain yang perlu diambil kira iaitu pengukuhan nilai matawang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun ini.
“Selain dari itu aspek pulangan dari pelaburan luar negara masih mendominasi prestasi KWSP walaupun peratusan pelaburan dalam negara lebih tinggi dari luar,” katanya.
Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak, berkata melihat unjuran itu realistik selaras dengan momentum pendapatan pelaburan KWSP berkembang positif sejak awal tahun ini.
“Susulan prestasi pelaburan yang kukuh memasuki suku terakhir 2025, ia memberi gambaran KWSP berada pada landasan positif mengumumkan dividen lebih kompetitif.
“Prestasi ini mencerminkan keupayaan KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran ekuiti global, kestabilan aset pendapatan tetap dan pulangan kukuh daripada pelaburan luar negara,” katanya. – UTUSAN








