KUALA KANGSAR: Pengurniaan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menjadi suntikan semangat baharu buat beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Menurut Tang Jie, 27, penganugerahan itu menjadi pembakar semangat untuk mereka terus mempamerkan prestasi cemerlang dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Kami berasa gembira dan bangga menerima anugerah ini. Seperti penerima lain, kami juga rasa bersyukur kerana terpilih menerima pingat ini.
“Terima kasih kepada Sultan Nazrin atas kurniaan pingat ini dan jika berpeluang berjumpa selepas ini, kami ingin menzahirkan penghargaan terima kasih kepada baginda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini.
Berangkat sama pada istiadat tersebut, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Sementara itu, ditanya mengenai persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028, beliau berkata fokus utama ketika ini adalah pertandingan terdekat.
“Untuk Sukan Olimpik, masih ada tiga tahun lagi. Jadi, kami tidak memikirkannya buat masa ini kerana tumpuan utama adalah pada kejohanan terdekat,” katanya.
Tang Jie dan Ee Wei, 25, dijangka kembali beraksi dalam Terbuka Australia di Sydney dari 18 hingga 23 November depan.
Dua jaguh sukan negara itu merupakan antara 205 penerima yang diperkenankan Sultan Nazrin untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak termasuk satu penerima secara anumerta hari ini.
Pada 31 Ogos lalu, Tang Jie bersama Ee Wei mencipta sejarah apabila muncul pasangan pertama Malaysia menjuarai beregu campuran di Kejohanan Dunia di Paris selepas menundukkan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. – UTUSAN










