Kualiti kelas 'A' di Andaman Seafood & dim Sum - Utusan Malaysia

Kualiti kelas ‘A’ di Andaman Seafood & dim Sum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Restoran Andaman Seafood & Dim Sum terus mengukuhkan jenamanya apabila membuka cawangan ketiga di Sunway Resort Hotel yang menawarkan konsep “live seafood” serta pelbagai sajian dim sum segar kepada pelanggan.

Restoran baharu itu berkeluasan luas dan mampu memuatkan sehingga 170 pelanggan dalam satu-satu masa, sekali gus menyasarkan golongan keluarga, pelancong serta pelanggan korporat yang menginginkan hidangan bertaraf lima bintang pada harga berpatutan.

Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Peter Tey berkata, pemilihan Sunway Resort Hotel sebagai lokasi terbaharu adalah langkah strategik bagi menarik lebih ramai pelanggan yang mahukan keselesaan premium tetapi pada kadar harga yang lebih mampu milik.

“Jika dibandingkan dengan hotel lima bintang lain, harga makanan di restoran kami jauh lebih berpatutan dengan konsep ‘live seafood’ di mana pelanggan dapat menikmati hidangan laut yang segar dan berkualiti tinggi,” katanya ketika majlis pembukaan baru-baru ini.

Menurutnya, restoran itu menyajikan lebih 52 jenis hidangan daripada negara-negara ASEAN, termasuk sajian terbaharu berasaskan resipi istimewa dari Timor Leste yang diperkenalkan khas di cawangan berkenaan.

“Lokasi di lobi Sunway Resort Hotel amat sesuai kerana kawasan ini merupakan tumpuan pelancong. Mereka bukan sahaja dapat menikmati masakan Malaysia, malah hidangan dari 11 negara ASEAN, sekali gus menjadikan restoran ini yang pertama menyediakan menu masakan ASEAN secara menyeluruh,” ujarnya.

Peter berkata, cawangan pertama mereka, Andaman Seafood Village Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Bintang, mampu menampung sehingga 1,500 pelanggan dan dilengkapi Grand Ballroom bagi penganjuran majlis perkahwinan serta acara berskala besar.

Beliau berkata, cawangan Kuala Lumpur telah memperoleh sijil halal, manakala Andaman Seafood & Dim Sum di Sunway berkonsepkan Muslim-friendly dengan penggunaan bahan mentah daripada pembekal halal.

“Kami memastikan bekalan makanan daripada sumber halal supaya semua pelanggan, termasuk pelanggan Muslim, dapat menikmati hidangan tanpa was-was. Dim sum kami disediakan segar setiap hari tanpa proses pembekuan, bermula daripada doh sehingga inti, oleh chef yang dibawa khas dari Singapura,” katanya.

Tambahnya, restoran itu turut mengimport makanan laut segar dan hidup dari Sabah serta luar negara seperti Alaska dan Australia bagi memastikan kualiti hidangan sentiasa terpelihara.

Antara tarikan utama restoran tersebut ialah lobster yang boleh dimasak dengan dua perisa, antaranya gaya sashimi dan ‘Typhoon Shelter’, selain menu premium yang mencecah harga sehingga RM598 sekilogram.

Bagi tempoh promosi, restoran itu turut menawarkan promosi istimewa ketam import dari Indonesia seberat 700 gram pada harga RM118 dengan potongan sehingga 50 peratus.

Seiring dengan peningkatan tempahan pada hujung tahun, restoran ini turut menyediakan pelbagai pakej khas bagi majlis makan malam korporat, perjumpaan syarikat dan sambutan akhir tahun.

Dalam pada itu, Peter berkata pihaknya merancang untuk mengembangkan jenama Andaman Seafood & Dim Sum ke peringkat antarabangsa, termasuk ke Maldives dan Kemboja selepas menerima jemputan khas daripada hotel-hotel di negara berkenaan.

“Kini kami mempunyai lebih 200 pekerja dan restoran beroperasi dari pukul 9.30 pagi hingga 10.30 malam,” katanya.

Restoran itu turut mencatat sejarah apabila memenangi Anugerah ASEAN Records bagi kategori Largest ASEAN Cuisine Seafood Restaurant (52 hidangan dari 11 negara ASEAN, keluasan lebih 16,930 kaki persegi, konsep menu dalam satu kompaun) pada 22 Oktober lalu.A

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN