PETALING JAYA: Majikan di Malaysia dijangka terkesan susulan unjuran kos penjagaan kesihatan meningkat mendadak pada tahun ini dan 2026, dengan kadar trend perubatan negara diunjur melonjak 15 peratus, menurut laporan terbaharu Mercer Marsh Benefits (MMB).
Kadar itu meletakkan Malaysia antara negara dengan peningkatan tertinggi di rantau ini, di belakang Indonesia (17.8 peratus) dan Filipina (16 peratus), menandakan tekanan semakin besar terhadap majikan untuk menanggung kenaikan kos manfaat kesihatan pekerja.
Laporan MMB Health Trends 2026 yang berdasarkan tinjauan terhadap 268 syarikat insurans di 67 pasaran mendapati 63 peratus syarikat insurans di Asia menjangka majikan akan mengurangkan perlindungan manfaat bagi mengawal kos peningkatan ketara berbanding 43 peratus pada 2025.
Secara keseluruhan, tujuh daripada 10 pasaran Asia dijangka merekodkan kadar trend melebihi 10 peratus.
Ketua Global Mercer Marsh Benefits dan Presiden Kesihatan Mercer, Hervé Balzano berkata, buat pertama kali dalam empat tahun, syarikat insurans menjangkakan majikan akan mengurangkan perlindungan bagi mengawal kos, bukannya menambah baik pelan manfaat.
“Walaupun langkah ini mungkin memberi kelegaan bajet jangka pendek, ia boleh menjejaskan pengalaman dan keselamatan kewangan pekerja serta melemahkan keupayaan syarikat untuk menarik dan mengekalkan bakat.
“Pakar kami bekerjasama dengan pelanggan bagi mencari peluang untuk mengoptimumkan pelan dan mengekalkan akses berterusan kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi bagi melindungi kesejahteraan pekerja dan menangani cabaran kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Penasihat Global Mercer Marsh Benefits, Amy Laverock berkata, dengan dua pertiga pasaran dijangka mencatat kadar trend perubatan dua angka pada 2026, organisasi perlu bersedia menghadapi peningkatan kos dan menyeimbangkan antara pengurusan kos serta kesejahteraan pekerja.
“Pelaburan dalam penjagaan pencegahan dan galakan penggunaan rawatan berkualiti boleh menangani kedua-dua cabaran ini,” ujarnya.
Laporan tersebut turut mendapati 76 peratus syarikat insurans bimbang tentang ketidakcekapan dan pembaziran dalam rawatan kesihatan, yang mendorong isu kemampuan.
“Banyak pihak juga menjangka majikan akan memfokus kepada pengurusan kos, termasuk kawalan terhadap tuntutan besar.
“Strategi inovatif untuk mengekang kos dan pengurusan risiko secara proaktif akan membantu majikan mengekalkan manfaat kesihatan yang mampu milik dan berkesan bagi jangka panjang,” tambahnya. – UTUSAN










