LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) insiden bot karam dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia-Thailand diteruskan Dengan tumpuan kepada usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi yang disambung pada pukul 7.30 pagi semalam melibatkan kekuatan seramai 180 pegawai dan anggota serta 12 aset pelbagai agensi penyelamat.
Katanya, kapal Maritim Malaysia KM TENGGOL menemukan satu mayat lelaki dewasa di perairan Teluk Apau, malam semalam sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Pada pukul 9.39 pagi tadi, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada nelayan tempatan mengenai penemuan satu mayat kanak-kanak perempuan kira-kira 5.8 batu nautika dari Pulau Cupu.
“Sehingga kini, jumlah keseluruhan mangsa yang berjaya ditemui di perairan kita adalah seramai 41 orang yang terdiri daripada 14 mangsa terselamat iaitu 12 lelaki dan dua wanita.
“Sebanyak 27 mangsa disahkan maut melibatkan 13 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya di sini, semalam. .
Tambah beliau, kawasan pencarian meliputi 260.15 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 12 sektor pencarian. – UTUSAN










