Kita tunggu keputusan rakyat - Hajiji

Kita tunggu keputusan rakyat – Hajiji

HAJIJI Noor bersama Juliah Salag hadir membuang undi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Pusat Mengundi N.12 Sulaman, Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan dan menghormati keputusan rakyat untuk memilih wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, keputusan rakyat adalah asas utama dalam pembentukan kerajaan negeri yang stabil dan berkesan.

“Kita tunggu keputusan rakyat. Kita hormat keputusan rakyat, siapa yang mereka pilih,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Serusup, di sini hari ini.

Terdahulu, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Sulaman itu bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag dan empat orang anaknya selesai membuang undi pada pukul 11.40 pagi tadi. 

Beliau secara berseloroh turut menyatakan: ‘Saya pun tidak tahu siapa saya undi’.

Mengulas lanjut mengenai harapan di kerusi Sulaman, Hajiji berkata beliau yakin GRS mampu mencapai kemenangan berdasarkan pengalamannya mewakili kawasan itu sejak sekian lama.

“Kalau di Sulaman ini, saya amat yakin bahawa GRS akan memperoleh kemenangan. Saya tahu keadaan Sulaman ini, yang sudah lama saya wakili. Kita tunggu keputusan nanti,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan beliau akan berada di Sri Gaya pada sebelah petang sementara menunggu keputusan rasmi PRN.

Dalam pada itu, Hajij menyeru semua pengundi berdaftar di negeri itu untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian PRN Sabah, hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterimanya sejak pagi tadi, proses pengundian di seluruh Sabah berjalan lancar dalam keadaan aman meskipun terdapat ramai calon bertanding di pelbagai kawasan.

“Kita berharap rakyat, pengundi di Sabah yang berdaftar, keluarlah mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Setakat yang saya dimaklumkan, keadaan aman dan damai, dan walaupun banyak calon yang bertanding, keharmonian mesti terus dipertahankan,” katanya.

Mengulas keadaan cuaca, Hajiji berkata cuaca di Tuaran sejak pagi berada dalam keadaan baik, namun beliau menasihati pengundi agar keluar lebih awal berikutan ramalan hujan pada sebelah petang.

“Saya tidak tahu di daerah lain, tetapi di Tuaran pagi ini hingga sekarang cuaca baik. Mengikut ramalan cuaca mungkin petang ada hujan, jadi kita minta pengundi datang awal,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN