
IPOH: Kenaikan elaun untuk ketua kampung dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) antara yang diumumkan kerajaan negeri melalui Belanjawan Perak 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kadar elaun bulanan Ketua Kampung Tradisional, Ketua Kampung Cina dan Ketua Kampung India itu dinaikkan sebanyak RM100 sebulan menjadikan elaun bulanan mereka akan berjumlah RM900 berkuatkuasa 1 Januari depan.
Katanya, kenaikan itu akan memberi manfaat kepada 996 orang ketua kampung di seluruh negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.8 juta iaitu peningkatan RM1.4 juta setahun.
“Manfaat tersebut merupakan penghargaan keranaan negeri atas peranan besar yang dimainkan oleh ketua kampung sama ada Ketua Kampung Tradisional, Ketua Kampung Cina mahupun Ketua Kampung India yang sentiasa menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan dan rakyat,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan DUN Perak, di sini semalam.
Saarani berkata, beliau turut terpanggil menyahut seruan agar kebajikan kelompok yang memikul amanah penting dalam masyarakat khususnya guru KAFA, guru I’dadi dan Thanawi diberi perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri setuju menambah elaun guru KAFA daripada RM200 kepada RM400 sebulan berkuatkuasa 1 Januari ini menjadikan elaun guru KAFA RM1,500 sebulan termasuk RM1,100 yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah elaun guru I’dadi dan Thanawi sebanyak RM200 menjadikan elaun yang diterima RM1,400 sebulan berkuatkuasa 1 Januari ini,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 3,310 guru KAFA dan 80 orang Guru I’dadi dan Thanawi di seluruh negeri membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM9.4 juta setahun. – UTUSAN










