PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan arahan mahkamah dalam kes kehilangan paderi Raymond Koh, termasuk membuka semula siasatan kes berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga telah mendapatkan taklimat daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat lalu yang mengendalikan kes tersebut sehingga keputusan perintah mahkamah dikeluarkan.
“Keputusan mahkamah menghendaki polis melakukan dua perkara iaitu kembali menyiasat dan mengemukakan (keberadaan) Pastor Koh, bawa dia, tunjukkan dia, jadi itu dua (perkara) jadi fokus saya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan World Day Against Trafficking in Persons (WDAT) 2025 di sini hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan beliau bersama pegawai AGC sebelum ini bagi mendapatkan taklimat lengkap susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.
Pada 5 November lalu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dan mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.
Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mengulas secara terperinci mengenai kes membabitkan Indira Gandhi.
“Isu ini adalah isu legasi yang saya warisi dan saya akan terus memastikan pihak polis mengambil langkah yang sewajarnya. Buat masa ini saya pun tak diberi apa-apa taklimat lagi tentang perkara tersebut dan saya akan minta untuk pihak polis mempersiapkan saya untuk berdepan dengan soalan-soalan media dengan lebih terang dan fasih tentang isu ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan semakan ke atas platform Sara dan Budi95 menggunakan nombor kad pengenalan yang dikaitkan dengan bekas suami Indira, Riduan Abdullah mendapati akaun tersebut telah menggunakan sepenuhnya bantuan tunai Sara berjumlah RM100 serta sebahagian daripada kuota subsidi petrol Budi95 sebanyak 300 liter. – UTUSAN










