Kerja-kerja pembinaan LRT tidak akan ditangguh - Zairil

Kerja-kerja pembinaan LRT tidak akan ditangguh – Zairil

KERJA-KERJA fizikal bagi pakej utama untuk projek pembinaan LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang telah bermula sejak beberapa bulan yang lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerja-kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara tidak akan ditangguhkan walaupun ketika sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada bulan Februari dan Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jadual pembinaan yang sangat ketat serta keperluan untuk menyiapkan projek tersebut menjelang Disember 2031.

“Sebarang penangguhan bukan sahaja akan menjejaskan garis masa keseluruhan, malah, ia berpotensi mencetuskan klausa denda yang ditetapkan dalam kontrak pembinaan,” kata Zairil (PH-Tanjung Bungah) ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) sama ada kerja pembinaan yang dijadual bermula Januari 2026 akan ditangguhkan sehingga selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, MRT Corp atau MRTC telah dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek berkenaan sejak April 2024 manakala Jemaah Menteri pula telah meluluskan siling bajet bernilai RM16.8 bilion bagi Laluan Mutiara pada Disember tahun lalu.

Katanya, kerja-kerja fizikal bagi pakej utama juga sudah pun bermula selepas kontraktor, SRS Consortium Sdn. Bhd., menerima Notis Mula Kerja (NTP) pada 15 Julai 2025, dengan kerja-kerja untuk Pakej CMC1 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2031.

Zairil berkata, ketika ini, tiga lokasi telah dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ yang dijangka mengalami gangguan lebih ketara sepanjang pembinaan iaitu di Jalan Magazine, persimpangan di hadapan Sunny Point di Batu Uban serta Jalan Sultan Azlan Shah dalam kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas.

‘”Setiap lokasi ini iaitu stesen dari George Town hingga ke Permatang Damar Laut telah diberi Pelan Pengurusan Trafik (TMP) tersendiri yang disediakan MRTC dan diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 14 Oktober 2025,” katanya yang memberitahu, pelan itu kini sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Tambah Zairil, MRT Corp juga telah diarahkan untuk menyediakan laluan alternatif serta pengalihan trafik yang akan disemak dan ditambah baik secara bulanan bagi menyesuaikan keperluan semasa.

“Jadi, walaupun pelaksanaan TMP ini dijangka siap keseluruhan pada 2030, pihak berkuasa dan kontraktor akan terus mengambil langkah bersesuaian bagi mengurangkan kesan kesesakan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN