GEORGE TOWN: Kerajaan negeri akan menggunakan dron bagi memantau trafik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di koridor George Town hingga Bayan Lepas susulan pembinaan projek LRT Laluan Mutiara.
Langkah itu termasuk kenderaan berat beroperasi di luar waktu puncak, menyusun semula beberapa persimpangan lampu isyarat dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata,
pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan kesesakan atau gangguan lalu lintas melibatkan lencongan dan sekatan laluan.
”Sepanjang tempoh pembinaan, Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan (TMP) telah dirangka oleh pihak MRT Corporation (MRTC) bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan di sepanjang rancangan jajaran LRT serta untuk membolehkan kerja-kerja dijalankan dengan selamat dan terkawal,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Zairil (PH-Tanjung Bungah) menjawab soalan Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) mengenai langkah jangka pendek dan panjang yang akan dilaksana untuk menyelesaikan kesesakan trafik semasa pembinaan LRT Laluan Mutiara berjalan.
Menurut Zairil, antara langkah jangka pendek yang bakal dilaksanakan bermula Januari 2026 termasuk pemantauan trafik menggunakan dron, pelaksanaan free-flow traffic di lokasi hotspot, laluan pusingan U baharu serta penyusunan semula beberapa persimpangan lampu isyarat bagi meningkatkan kelancaran kenderaan.
Selain itu, katanya, jadual kerja pembinaan akan disusun bagi memastikan kenderaan berat beroperasi di luar waktu puncak, di samping dialog dengan pihak industri FIZ untuk mengelakkan pergerakan bas kilang bertembung dengan waktu puncak.
”Beberapa jalan utama seperti Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Tengah dan Jalan Tun Dr. Awang turut dikenal pasti untuk kerja pelebaran bagi menyokong aktiviti pembinaan dan memastikan kenderaan masih boleh bergerak lancar sepanjang tempoh projek,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti Bas CAT, CAT Bridge, Rapid Penang, Perkhidmatan BEST KOMTAR serta Rapid On-Demand (ROD) bagi mengurangkan kebergantungan kepada kereta persendirian. Laluan basikal baharu turut dirancang bagi menyokong mobiliti alternatif.
Sementara itu, katanya, bagi jangka panjang, kerajaan negeri akan meneruskan konsep free-flow traffic di persimpangan utama yang berkesan, mewujudkan platform umum untuk menyelaras maklumat projek besar serta memperkukuh first- and last-mile connectivity melalui sistem bas pengantara ke stesen LRT kelak.
Menjawab sama ada LRT benar-benar mampu mengurangkan kesesakan, Zairil berkata, LRT mempunyai kapasiti membawa belasan ribu penumpang setiap jam, menjadikan ia penyelesaian paling berkesan untuk jangka masa panjang berbanding pelebaran jalan.
Beliau berkata, apabila siap kelak LRT Laluan Mutiara bukan sahaja meningkatkan mobiliti rakyat tetapi turut merangsang pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan dan mengurangkan pelepasan karbon melalui peralihan kepada mod pengangkutan awam yang lebih mampan. – UTUSAN










