'Tiada kawasan pembiakan nyamuk di tapak pembinaan LRT Pulau Pinang'

‘Tiada kawasan pembiakan nyamuk di tapak pembinaan LRT Pulau Pinang’

KERJA-KERJA pengasapan atau 'fogging' dilakukan setiap minggu di semua tapak kerja serta kawasan penyimpanan bahan binaan untuk projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang.-GAMBAR/KONSORTIUM SRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kontraktor utama bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, SRS Consortium Sdn. Bhd. (Konsortium SRS) menegaskan bahawa syarikat itu sentiasa komited dalam memastikan tiada kawasan pembiakan nyamuk di semua tapak pembinaan aktif milik mereka ketika ini.

Menurut Konsortium SRS, sejak kerja-kerja pembinaan LRT bermula tahun lalu, mereka telah melaksanakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif di semua tapak projek bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan vektor.

Katanya, antara usaha berterusan yang dibuat termasuk pengurusan kebersihan yang rapi seperti pembuangan air bertakung setiap hari, kawalan pertumbuhan semak dan rumput liar serta pelupusan sisa secara sistematik.

“Kami juga melakukan kawalan vektor yang aktif dengan melaksanakan aktiviti larvasid dan pengasapan (fogging) setiap minggu di semua tapak kerja serta kawasan penyimpanan bahan binaan.

“Selain itu, pemeriksaan penghadang jalan turut dibuat dengan semua penghadang konkrit jenis New Jersey Barrier (NJB) diperiksa dan ditutup dengan sempurna bagi mengelakkan pengumpulan air di dalam ruang berongga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kelmarin, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa, terdapat air bertakung di dalam rongga penghadang jalan serta bahan-bahan binaan di kawasan tapak pembinaan projek LRT itu hasil satu tinjauan yang dilakukan dan situasi tersebut dikatakan mengundang persekitaran yang ideal untuk pembiakan nyamuk.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Konsortium SRS berkata, mereka memandang serius setiap pemerhatian yang dibangkitkan khususnya berkaitan penyelenggaraan tapak pembinaan.

“Walaupun tinjauan CAP berjaya mengenal pasti kewujudan air bertakung pada penghadang jalan serta bahan binaan di beberapa lokasi, namun, pihak kami sentiasa mematuhi protokol keselamatan tapak yang ketat.

“Sebagai contoh, memandangkan tapak pembinaan merupakan kawasan berisiko tinggi, akses adalah terhad kepada kakitangan yang diberi kuasa dan telah menjalani latihan keselamatan profesional sahaja,” katanya.

Tambah konsortium tersebut, mereka tidak menolak penelitian awam, malah, mengalu-alukan ketelusan pemeriksaan sama ada daripada CAP atau pihak berkuasa kesihatan sekiranya ada mana-mana kawasan di bawah seliaan mereka memerlukan perhatian khusus.

“Kami bersetuju dengan CAP bahawa usaha pencegahan denggi merupakan tanggungjawab bersama dan dalam hal ini, Konsortium SRS kekal komited untuk memastikan tahap kebersihan, sanitasi dan sistem saliran di semua tapak pembinaan sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN