GEORGE TOWN : Kerajaan negeri kini sedang menyusun pelan pengurusan trafik dan logistik yang paling komprehensif menjelang pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, langkah itu diambil bertujuan untuk mengurangkan impak daripada kesesakan luar biasa yang mungkin berlaku disebabkan oleh projek tersebut.
“Saya tak akan berdalih. Memang akan berlaku kesesakan sepanjang pembinaan LRT itu nanti. Sama seperti yang berlaku di Kuala Lumpur.
“Apapun, kami akan cuba untuk bersikap telus sebaik mungkin termasuk dari segi libat urus dan penyampaian maklumat. Semua ini bagi membolehkan anda semua merancang laluan serta masa perjalanan dengan lebih baik,” katanya.
Zairil berkata demikian semasa sesi ‘townhall’ mengenai projek LRT terbabit yang dianjurkan oleh InvestPenang di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) hari ini.
Pada sesi berkenaan, MRT Corp. Sdn. Bhd. selaku pemaju projek turut memberi penerangan menyeluruh mengenai pelan keseluruhan dan jadual pembinaan manakala SRS Consortium Sdn. Bhd. pula membentangkan tanggungjawab kontraktor termasuk pelaksanaan pelan pengurusan trafik yang melibatkan penutupan lorong secara berfasa, laluan lencongan serta pemantauan trafik lebih rapi.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, LRT Laluan Mutiara dijangka bermula dengan jumlah penumpang harian sekitar 70,000 orang dan akan meningkat sehingga kepada 100,000 seorang apabila sistem berkenaan telah stabil.
Katanya, projek LRT itu juga akan menjadi pemangkin perubahan landskap pengangkutan awam Pulau Pinang serta mampu mengurangkan kesesakan, khususnya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan utama lain.
Dalam pada itu, Pengarah Projek SRS Consortium, Adil Putra Ahmad memberitahu, kerja-kerja lencongan trafik utama sempena pembinaan LRT khususnya di sepanjang jalan utama di Bayan Lepas akan bermula tahun depan.
“Kami menjangkakan akan ada satu lencongan trafik besar-besaran dan pengalihan aliran trafik di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah bermula pertengahan Januari 2026.
“Lencongan trafik itu akan bermula dari persimpangan Kampung Jawa hingga ke persimpangan Mayang Pasir,” ujar beliau ketika sesi yang sama.
Projek LRT Laluan Mutiara yang dijangka menelan kos RM16 bilion itu merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) dengan 21 stesen strategik termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.-UTUSAN










