KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan hampir RM50 juta bagi pembangunan industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, ia sekali gus menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap sektor itu sebagai tonggak masa depan tenaga negara.
Jelasnya, peruntukan itu akan menyokong lima inisiatif utama industri OGSE, termasuk Geran Pembangunan OGSE yang memperluas geran padanan RM30 juta di bawah RMK12 bagi membantu syarikat berkembang dan kekal berdaya saing.
“Terdapat juga Regional Champions Programme yang bertujuan memacu kerjasama serta pengembangan syarikat di luar negara.
“Selain itu, Skim Growth Beyond OGSE diperkenalkan untuk menggalakkan kepelbagaian dalam bidang peralihan tenaga, ekonomi kitaran serta sektor bernilai tinggi berkaitan.
“Program Kelestarian OGSE pula menumpukan kepada pengukuhan daya tahan iklim dan amalan lestari dalam operasi syarikat.
“Sementara itu, PROPEL OGSE memberi fokus kepada peningkatan kemahiran teknikal melalui latihan dan pensijilan yang disasarkan bersama pusat bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya semasa merasmikan Forum Pelan Tindakan OGSE Kebangsaan 2025 di sini, semalam.
Beliau berkata, dengan kemudahan dan sokongan itu, semua syarikat OGSE diseru agar terus berinteraksi secara aktif dengan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).
Menurutnya, syarikat OGSE turut digesa meningkatkan inovasi, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperoleh peluang komersial jangka panjang di luar negara bagi memastikan daya saing di peringkat global.
“Langkah itu bukan sekadar pilihan, tetapi strategi penting untuk terus maju dan kekal relevan dalam menghadapi cabaran Energy Trilemma iaitu keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian.
“Diversifikasi amat penting. Syarikat-syarikat OGSE Malaysia mesti memperluas portfolio mereka dan meneroka pasaran serantau, khususnya di Asia.
“Di sinilah MPRC terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin di bawah Kementerian Ekonomi dengan mandat memacu transformasi industri dan memastikan daya saing jangka panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd. Yazid Ja’afar berkata, perubahan global seperti perubahan iklim dan peralihan tenaga telah mengubah lanskap operasi, sekali gus mencabar daya saing dan ketahanan syarikat-syarikat OGSE.
“Ini termasuk akta baharu seperti Akta Penangkapan, Pemanfaatan dan Penyimpanan Karbon (CCUS Act), selain Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal dilaksanakan.
“Peluang serantau, terutamanya melalui ASEAN, masih banyak yang belum dimanfaatkan dan perlu digarap untuk mempercepatkan pertumbuhan OGSE.
“Sehubungan itu, MPRC mengetuai Regional Champions Programme dan inisiatif Growth Beyond OGSE dalam Pelan Tindakan OGSE bagi mengembangkan keterhubungan OGSE di ASEAN.
“MPRC tidak lama lagi akan mengadakan sesi eksplorasi perniagaan di Indonesia bagi merangsang lebih banyak hubungan antara syarikat OGSE ASEAN,” ujarnya. – UTUSAN










