Keputusan permohonan kebenaran merayu Semantan 13 Nov.

Keputusan permohonan kebenaran merayu Semantan 13 Nov

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu oleh Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) berkait Duta Enclave akan diputuskan pada 13 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu oleh Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) berkait Duta Enclave akan diputuskan pada 13 November ini.

Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke mahkamah tertinggi negara perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu terlebih dahulu.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta yang turut dikenali sebagai Duta Enclave kekal menjadi milik kerajaan selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya turut memutuskan bahawa Semantan layak mendapat pampasan bagi tanah yang telah diceroboh oleh kerajaan.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan beridang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.

Semantan diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus V Das manakala Kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

Pada 2003, Semantan memfailkan pula saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN