PASIR PUTEH: Kegembiraan seorang kanak-kanak bermain pasir bersama bapa saudaranya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dipercayai dihempap tiang konkrit dalam kejadian di Kampung Telaga Papan di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohamad Yusof Nor Ismail, 12, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Bapa saudaranya, Muhamad Yunus Nasir, 12, yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali, Pegawai Bomba Kanan I, Fakarudin Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak terbabit dipercayai sedang bermain dan menggali lubang di kawasan tanah berpasir berhampiran rumah mereka.
Katanya, tiang konkrit yang berada berhampiran kawasan itu dipercayai tiba-tiba tumbang lalu menghempap mangsa.
“Sebelum itu, pihaknya kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.55 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa didapati telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat.-UTUSAN










