Kemajuan perlu dipandu dengan adab

Kemajuan perlu dipandu dengan adab

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan hadir ke Majlis Perasmian Festival Idea Putrajaya 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap kemajuan dan inovasi yang dikecapi perlu dipandu dengan adab agar tidak tersasar daripada landasan kebenaran dan keadilan.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, kemajuan yang dicapai tidak seharusnya dinilai dari sudut pencapaian semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan nilai adab yang menjadi panduan dalam setiap tindakan.

“Setiap kejayaan besar daripada kemajuan hendaklah hadir bersama persoalan yang berpanjangan tentang kebenaran, autoriti yang berhak dan keadilan. Apa jua bentuk kemajuan yang kita capai, ia mesti dipandu oleh adab,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja Majlis Perasmian Festival Idea Putrajaya 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Azman Mokhtar.

Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menekankan kepentingan adab dalam penggunaan media sosial dengan memetik kata-kata Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud dari Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM yang mengingatkan bahawa ‘kata-kata dan tindakan kita adalah cerminan fikiran dan jiwa kita’.

Titah baginda, kehilangan adab akan melahirkan kezaliman dan ia merupakan kesalahan serius dalam Islam kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk berlaku adil walaupun terhadap sesuatu atau seseorang yang kita benci.

“Dalam penyelidikan dan inovasi, adab menuntut kita agar telus tentang kaedah yang digunakan, sedar akan batas kemampuan kita, bertanggungjawab dan memberi perhatian serta memperjuangkan suara-suara minoriti,” titah Baginda.

Raja Zarith Sofiah turut menyeru agar etika dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) diamalkan mengikut rangka kerja yang diperkenalkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu menegakkan martabat manusia sebagai teras utama.

Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat menyaksikan sesi persidangan Panelis Diraja yang disertai Shaykh Prof. Dr. Hisham A. Hellyer dari Royal United Services Institute (RUSI) London, United Kingdom dan Prof. Madya Dr. Khairudin Aljunied dari National University of Singapore.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN