KOTA BHARU: Kelantan negeri mengumumkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.43 bilion yang memberikan fokus kepada empat perkara utama iaitu pembelaan dan pemberdayaan rakyat, keterjaminan makanan dan kemapanan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri, serta pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, bertemakan Kelantan Sejahtera: Prihatin Rakyat, Ekonomi Berkat, Negeri Rahmat, belanjawan 2026 bukan sekadar himpunan angka sebaliknya satu pelan menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM1.10 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan mengurus dan RM327.61 juta bagi tujuan perbelanjaan pembangunan.
“Komponen utama Perbelanjaan Mengurus meliputi pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM630.2 juta), emolumen (RM249.54 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM197.58 juta), aset (RM20.93 juta) serta lain-lain perbelanjaan (RM4.45 juta).
“Anggaran Perbelanjaan Mengurus kerajaan negeri meningkat sebanyak RM12.42 juta berbanding RM1.09 bilion pada tahun 2025 selaras dengan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, memperkukuh pelaburan strategik serta memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan penuh berhemah dan berkesan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, perbelanjaan pembangunan mengalami penyusutan sebanyak RM33.72 juta berbanding RM361.33 juta pada tahun 2025.
Katanya, langkah itu hasil daripada pelarasan dan penyusunan semula anggaran berdasarkan unjuran keperluan tunai sebenar projek, khususnya bagi projek di bawah peruntukan langsung kerajaan negeri serta pinjaman Kerajaan Persekutuan.
“Antara projek yang akan terus diberi tumpuan termasuklah pembangunan Madinah Al-Salam, Madinah Al-Riadhah, Madinah Ramadan, serta pembangunan infrastruktur jalan, perparitan, jambatan dan perumahan mampu milik di seluruh negeri,” ujarnya.
Beliau berkata, di bawah pembelaan dan pemberdayaan rakyat kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM67.27 untuk dibelanjakan.
Katanya, menerusi teras kedua sebanyak RM81.77 juta berkaitan keterjaminan makanan dan kemapanan ekonomi telah diperuntukan dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan untuk rakyat serta memastikan kemapanan ekonomi negeri.
“Untuk teras kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri sejumlah RM95.08 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program dan projek yang menjamin kehidupan rakyat lebih makmur, bersih, selesa serta mesra alam sekitar.
“Sebagai bukti komitmen dalam pembangunan Islam, pendidikan dan modal insan sebanyak RM181.71 juta diperuntukkan. Kerajaan negeri dengan penuh istiqamah terus menjadikan agama Islam sebagai dasar dan tunjang utama pentadbiran,” ujarnya. – UTUSAN









