Kekurangan diri tidak halang Aslam genggam ijazah

Kekurangan tidak halang Aslam genggam ijazah

ZULFAQAR Aslam Zulkefli  menerima Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial pada Majlis  Konvokesyen UniSZA ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kekurangan fizikal bukan alasan untuk berhenti berjuang. Itu prinsip dipegang Zulfaqar Aslam Zulkefli, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang membuktikan bahawa semangat mampu menewaskan segala keterbatasan.

Dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy, Zulfaqar Aslam tidak pernah membiarkan kekurangan diri menjadi penghalang untuk menuntut ilmu dan mengejar impian.

Anak sulung daripada empat beradik itu kini semakin dikenali sebagai pencipta kandungan di platform TikTok menerusi perkongsian inspirasi yang memberi semangat kepada masyarakat.

Kandungan yang dikongsi Aslam di TikTok banyak berkisar mengenai aktiviti hariannya di kampus serta kehidupan sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU) sepanjang berada di UniSZA. 

“Melalui media sosial, saya hendak tunjuk kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu hidup berdikari, belajar, bekerja dan memberi inspirasi kepada orang lain. Saya mahu ubah persepsi bahawa kekurangan itu bukan kelemahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA.

Berasal dari Kuala Berang, Terengganu, Zulfaqar Aslam  adalah  anak kepada pasangan pesara guru, Zulkefli Mamat, 55, dan Rohana Sulong, 55. Sokongan dan dorongan keluarga menjadi pendorong utama yang membuatkan dia tidak pernah berputus asa.

Menurut bekas pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah itu, cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah\ meyakinkan orang sekeliling bahawa dirinya juga mampu melakukan tugasan sama seperti pelajar lain.

“Kadangkala orang nampak saya ada kekangan fizikal, terus rasa kasihan atau tidak yakin. Tetapi saya nak buktikan yang saya boleh berdikari dan aktif dalam pelbagai aktiviti universiti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN