Kedah turunkan kadar premium tanah selepas rakyat merungut - Utusan Malaysia

Kedah turunkan kadar premium tanah selepas rakyat merungut

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas berdepan rungutan para pemohon tanah, kerajaan negeri akur dengan meminda semula kadar premium tanah yang diwartakan pada 5 September tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pindaan itu menyaksikan pengurangan sebanyak 10 hingga 30 peratus kadar premium bagi kategori pertanian yang dikenakan pada tahun ini berbanding 2024.

Katanya, bagi kategori ba­ngunan atau kediaman pula, pengurangan kadar baharu premium tanah adalah sebanyak 10 hingga 20 peratus mengikut pendapatan isi rumah.

“Kadar yang dikenakan sebelum ini telah mendapat rungutan pemohon-pemohon tanah yang menyatakan premium yang dikenakan adalah tinggi dan membebankan pemohon terutamanya rakyat berpendapatan rendah.

“Oleh itu, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah membuat kajian dan semakan semula dan di bawah Kaedah 8 Kaedah-kaedah Tanah Kedah Darul Aman 2018 telah dipinda semula dan diwartakan pada 3 April lalu,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Mohd. Radzi Md. Amin (PN-Pedu) berhubung rayuan rakyat terhadap kadar premium tanah yang tinggi bagi lot kediaman dan pertanian.

Muhammad Sanusi berkata, pemohon kategori pertanian yang berpendapatan isi rumah RM1,700 sebulan ke bawah kekal dikenakan 10 peratus daripada nilaian tanah yang dibuat.

“Bagi yang berpendapatan RM1,701 sehingga RM5,000 se­bulan akan dikenakan 20 peratus daripada nilaian berbanding 30 peratus pada 2024 dan RM5,001 sehingga RM7,000 sebulan pula sebanyak 25 peratus berbanding 40 peratus,” katanya.

Ujarnya, isi rumah berpendapatan RM7,001 sehingga RM10,000 sebulan dikenakan 30 peratus berbanding 50 peratus pada 2024 manakala RM10,001 sebulan dan ke atas sebanyak 30 peratus berbanding 60 peratus.

“Untuk kategori kediaman, pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah hanya 30 peratus daripada nilaian berbanding 40 peratus. RM5,001 sehingga RM7,000 sebulan, 35 peratus berbanding 50 peratus.

“Pendapatan isi rumah RM7,001 sehingga RM10,000 sebulan, 40 peratus berbanding 60 peratus; RM10,001 sebulan dan ke atas, 50 peratus berban­ding 70 peratus sementara ka­tegori perniagaan dan lain-lain bangunan 100 peratus daripada harga nilaian tanah,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Dr. Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) berkenaan menukar syarat tanah pertanian kepada kediaman bagi menambah pendapatan, beliau berkata, kerajaan negeri hanya boleh memberi notis langgar syarat sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN