Kedah pastikan REE tidak dimanipulasi 

Kedah pastikan REE tidak dimanipulasi 

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah akan memastikan hasil unsur nadir bumi (REE) di negeri ini tidak dimanipulasi sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak, sebaliknya akan tegas mempertahankan hak negeri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri komited memastikan hasil bumi yang berada dalam kawasan Kedah kekal menjadi milik negeri dan memberi manfaat terus kepada rakyat serta pembangunan negeri. 

“Pendirian kita jelas, sebagaimana galian lain, REE yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik Kedah. Kerajaan negeri akan memastikan hasil ini tidak dimanipulasi sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak. 

“Kita akan tegas mempertahankan hak rakyat negeri Kedah dan tidak akan berkompromi dalam soal ini,” katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2026 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. 

Muhammad Sanusi berkata, sebarang perancangan berkaitan perlu melalui libat urus rasmi dengan kerajaan negeri seperti langkah Kerajaan Persekutuan menandatangani Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) dengan Amerika Syarikat yang turut membabitkan REE. 

“Daripada anggaran 16.2 juta tan deposit REE di Malaysia, 70 peratus berada di negeri-negeri SG4 (Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan). Maka sebarang keputusan atau pelan tindakan tidak boleh dilakukan tanpa rundingan dengan kerajaan negeri,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati, namun akan kekal tegas mempertahankan hak rakyat Kedah terhadap hasil bumi mereka. 

“Berdasarkan kajian, Kedah dikurniakan sumber rezeki baharu yang besar dengan jumlah rizab keseluruhan 1.196 juta tan REE, dan dalam tempoh 10 tahun akan datang dijangka dapat mengeluarkan hasil sekitar 250,000 tan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri dalam proses memuktamadkan lantikan peguam berhubung isu tuntutan penilaian semula pajakan Pulau Pinang bagi membolehkan pelaksanaan analisis dan penyediaan dokumen sebelum membawa perkara itu ke mahkamah.

“Insya-Allah, perkembangan selanjutnya akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi. Sebelum ini kita lantik pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan yang menghasilkan kajian masing-masing dalam usaha meneruskan tuntutan tersebut. 

“Pada 15 April, pasukan ini membentang laporan akhir kajian mereka kepada Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-ahli Parlimen berkaitan isu tersebut,” katanya. 

Tambah beliau, kerajaan negeri menjunjung kasih keprihatinan Sultan Kedah atas isu kedudukan dan hubungan dengan Pulau Pinang, khususnya yang membabitkan aspek sejarah dan situasi semasa hari ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN