Kastam Pulau Pinang gagalkan cubaan seludup arak lebih RM2.71 juta

Kastam Pulau Pinang gagalkan cubaan seludup arak lebih RM2.71 juta

ROHAIZAD Ali (empat dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada arak yang dirampas ketika sidang akhbar di Stor Penguatkuasan Kastam Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-GAMBAR/SITI NUR MAS ERAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan untuk menyeludup tiga kontena yang membawa minuman keras bernilai lebih RM2.71 juta termasuk cukai dalam satu pemeriksaan di Pelabuhan Klang, Selangor, Ahad lalu.

Pengarahnya, Datuk Rohaizad Ali berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang itu, sebanyak 116,952 tin bir import telah ditemukan dalam ketiga-tiga kontena terbabit.

“Ketiga-tiga kontena disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur dan telah diimport masuk oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Cheras.

“Kontena-kontena itu pula dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan antarabangsa yang memiliki anak syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasan Kastam Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, modus operandi yang digunakan oleh sindiket berkenaan ialah dengan mengikrar minuman keras tersebut sebagai ammonia bikarbonat untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kes itu kini disiasat mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 52(1), Seksyen 52(3), dan Seksyen 52(4) Akta Kastam 1967 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Dalam hal ini, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh membantu pihak JKDM untuk memerangi jenayah penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat kastam yang terdekat,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN