Kakak, sekutu Jho Low diperintah bayar AS$2.8 bilion

Kakak, sekutu Jho Low diperintah bayar AS$2.8 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita, Low May Lin yang juga kakak kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dan sekutunya, Tan Kim Loong diperintahkan untuk membayar hampir AS$2.8 bilion kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas perbicaraan penuh tanpa kehadiran kedua-dua individu itu.

Pada November 2022, Mahkamah Tinggi di sini yang berbeza telah memasukkan penghakiman ingkar terhadap Jho Low, Tan Sri Larry Low Hock Peng (bapa Jho Low) dan Low Taek Szen (adik lelaki Jho Low) selepas menolak pembelaan kesemua lelaki itu.

Jho Low diperintahkan secara peribadi untuk membayar AS$2.8 bilion manakala dia juga bersama bapanya perlu membayar AS$983 juta.Taek Szen dikehendaki membayar AS$27.5 juta.

Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang diberikan secara automatik terhadap pemohon apabila satu pihak lagi gagal mengambil langkah sewajarnya dalam prosiding tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Sementara itu pada 21 Mei 2024, 1MDB turut memperoleh penghakiman ingkar terhadap ibu Jho Low, Puan Sri Goh Gaik Ewe berhubung tuntutan bernilai AS$1.695 juta (RM7.9 juta) bagi barang kemas yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahazan memutuskan bahawa 1MDB dan empat anak syarikatnya berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap kedua-dua individu itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Bukti dokumentari menunjukkan bahawa Tan Kim Loong ialah pemilik benefisial akaun Alsen Chance dan Blackstone. Akaun-akaun ini menerima sejumlah wang besar yang diseleweng daripada 1MDB berjumlah AS$2,795,333,000.

“Tan Kim Loong diketahui sebagai rakan rapat Jho Low dan berperanan sebagai saluran penting dalam pengubahan serta pelapisan dana curi tersebut. Sifat, magnitud dan pola pemindahan menjadikan sebarang dakwaan penerimaan tanpa pengetahuan sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

“Bukti juga menunjukkan bahawa defendan keempat (May Lin) AS$809,319 terus ke dalam akaun peribadinya melalui empat pemindahan daripada defendan ketiga, Tan Sri Larry Low Hock Peng (bapa Jho Low).

“Pindahan-pindahan ini tidak sepatutnya berlaku, (dilakukan) tanpa rasional komersial dan berpunca daripada dana yang diseleweng melalui struktur Good Star. Sebagai adik kepada Jho Low, peranannya sebagai penerima peribadi dana yang diseleweng sepadan dengan pola penyamaran berasaskan keluarga (family-based concealment),”kata hakim itu.

Sehubungan itu, Hakim Mahazan menyatakan bahwa Mahkamah berpuas hati bahawa setiap transaksi yang dipertikaikan melibatkan harta amanah atau aset korporat 1MDB yang dilupuskan dengan melanggar kewajipan fidusiari.

Bukti dan keterangan juga menunjukkan bahawa dana yang sampai kepada Kim Loong dan May Lin adalah hasil penyelewengan.

“Ketiadaan sebarang sanggahan daripada kedua-dua defendan menguatkan lagi kes plaintif (1MDB). Bukti daripada bekas ketua pegawai kewangan 1MDB, Azmi Tahir, serta pakar Angela Buckhouse dan Richard Templeman disokong sepenuhnya oleh dokumen kontemporari. Keseluruhannya, keterangan adalah kukuh, konsisten dan disokong melalui dokumen bank serta analisis forensik bebas,”ujar Hakim Mahazan.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Eric Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Eric Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Eric Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Eric Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Eric Tan, Hock Peng dan Taek Szen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×