MELAKA: Seorang jurugambar sambilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka di Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di lif sebuah apartment di Pokok Mangga, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkhairi Zakaria, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan cara meraba punggung mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di lif Tower 3, Apartment Prima Pokok Mangga, dalam daerah Melaka Tengah, pada kira-kira pukul 1 petang, 31 Oktober 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, yang memohon jaminan RM20,000 serta tarikh baharu bagi serahan dokumen.
Beliau turut mencadangkan syarat ketat, tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa, melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam bela, Mohd. Farid Abdul Aziz, merayu jaminan dikurangkan bawah RM10,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai jurugambar sambilan dan keluarga hanya mampu menyediakan sekitar RM8,000 hingga RM10,000.
Beliau turut memaklumkan abang tertuduh merupakan kakitangan bank dan kedua-duanya menjaga ibu berusia 76 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain mengekalkan syarat tidak mendekati mangsa, melapor diri dua minggu sekali dan menyerahkan pasport.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember ini. – UTUSAN










